Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam)
menurunkan Kadar Asas (BR) sebanyak 25 mata asas daripada 3.52% kepada 3.27% setahun susulan penurunan kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini.

Manakala Kadar Pembiayaan Asas (BFR) dikurangkan daripada 6.47% kepada 6.22% berkuat kuasa 6 Mac 2020.

Bank Islam dalam kenyataannya berkata, kadar deposit juga akan diselaraskan ke bawah sebanyak 25 mata asas, berkuatkuasa pada hari yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, selain Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang umumkan, penurunan OPR ini perlu bagi merangsang ekonomi negara.

Langkah pengurangan ini akan membolehkan pengguna memegang lebih banyak tunai dalam tangan dan seterusnya memberi kesan yang lebih positif terhadap penggunaan domestik.

Menurutnya, Bank Islam akan terus menyokong dalam membantu perniagaan dan individu mengurangkan kesan ketidakpastian yang muncul baru-baru ini.

Bank Islam juga menawarkan moratorium sementara sehingga tempoh enam bulan untuk pembayaran pembiayaan bulanan bagi pelanggan individu atau perniagaan yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Semakan terakhir BR Bank Islam telah dilaksanakan pada 28 Januari 2020, iaitu daripada 3.77% kepada 3.52%, manakala BFR diturunkan daripada 6.72% kepada 6.47%. – MalaysiaGazette