LONDON – Manchester City mara ke suku akhir Piala FA selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sheffield Wednesday.
Namun tuah tidak menyebelahi Tottenham Hotspur tersingkir di tangan Norwich menerusi penentuan penalti.
Sergio Aguero muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk juara bertahan itu pada minit ke-53 selepas penjaga gol Wednesday Joe Wildsmith gagal menepis rembatan rendah penyerang Argentina itu.
Kemenangan itu membolehkan City berada di landasan tepat untuk kejuaraan treble musim ini selepas memenangi Piala Liga ketiga berturut-turut dan menewaskan Real Madrid 2-1 pada pertemuan pertama kelompok 16 Liga Juara-Juara.
City akan bertemu Newscastle pada suku akhir Piala FA di tempat lawan.
Sementara itu, Norwich akan melayan kunjungan Derby atau Manchester United untuk suku akhir pertama mereka sejak tahun 1992 selepas menewaskan Spurs menerusi sepakan penalti.
Leicester turut menempah tempat ke kelompok lapan terakhir hasil kemenangan 1-0 ke atas Birmingham. Gol tunggal permainan dijaringkan Ricardo Pereira.
Skuad kendalian Brendan Rodgers itu akan melayan kunjungan Chelsea di suku akhir. Arsenal akan bertandang ke Sheffield United. – MalaysiaGazette