Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berjalan keluar dari mahkamah selepas hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-13 kes pembelaan SRC International Sdn Bhd yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempertahankan tindakannya mendedahkan sembilan rakaman audio beberapa individu dalam satu sidang media pada 8 Januari lalu.

Saksinya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, pendedahan itu adalah untuk kepentingan umum dan beliau tidak perlu menepati kriteria-kriteria yang sepatutnya sebelum membuat pengumuman tersebut.

Latheefa telah disepina oleh pasukan peguam Najib berikutan pendedahan rakaman audio yang didakwa mempunyai hubungan dengan penyewelengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam sesi hari ini Shafee secara berterusan mengasak Latheefa untuk mendapatkan kepastian sama ada rakaman audio yang bocor itu merupakan hasil pintasan daripada kegiatan pengintipan risikan.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menegaskan beliau tidak dapat memastikan perkara tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis bagi menentukan kandungan rakaman berkenaan dan SPRM masih lagi menyiasat tentang rakaman itu.

Shafee: Jadi saya hendak tanya kamu, apakah sebenarnya niat kamu dedahkan kepada umum, kepada media apabila di mahkamah pula kamu enggan dedah? Kita di mahkamah, kamu boleh bercakap.

Latheefa: Kita tidak boleh buktikan sama ada ianya pintasan atau rakaman. Pada kami isi kandungan itu penting. Kerana itu ia telah didedahkannya kepada umum melalui sidang media.

Umum akan tahu kerana itu ianya didedahkan kepada semua supaya kelak perbuatan seperti ini tidak berulang.

Bagaimana Peguam Negara atau Pejabat Perdana Menteri boleh terbabit dalam kesalahan seperti mendedahkan maklumat rahsia, mengganggu atau mereka-reka bukti dengan tujuan mengelakkan pendakwaan dan kita boleh dedahkannya kepada umum.

Shafee: Mengapa tidak kamu siasat dulu sekiranya rakaman itu adalah pemintasan? Mengapa tidak? Kenapa mainkan rakaman tanpa tahu?

Latheefa: Saya bukanlah pegawai penyiasat. Saya hanya bertindak bagi kepentingan awam. Pada saya kandungan dalam rakaman itu lebih penting. Itu sahaja

Shafee: Kamu dan saya seperti radio buruk yang lama, asyik mengulang perkara sama.

Latheefa: Saya bukanlah radio buruk itu.

Shafee: Apakah yang kamu harapkan melalui pendedahan audio ini?

Latheefa: Saya tidak berharap apa-apa.

Shafee: Apa yang kamu cuba capai melalui pendedahan audio yang kamu tidak dapat pastikan dari mana, sekiranya ianya pintasan yang mungkin juga boleh dilakukan oleh risikan tentera, cawangan khas polis, SPRM mahupun SKMM?

Latheefa: Saya tidak harap apa-apa melalui pendedahan ini Yang Arif.

Shafee: Cerita kamu ini ingatkan saya dengan insiden yang mana mendiang Karpal pernah mendapat bungkusan di luar pejabatnya bagi satu kes?

Latheefa: (Diam).

Shafee juga mengingatkan Latheefa ketika memberikan jawapannya beliau adalah Ketua Pesuruhjaya dan bukanlah orang biasa-biasa sebaliknya mempunyai kuasa untuk mengetahui semua yang berlaku di sekelilingya di SPRM.

Ini kerana ada kalanya, Latheefa memberitahu mahkamah beliau tidak pasti dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh pegawai-pegawai SPRM berkaitan kes tersebut dan dirinya hanya bertindak untuk kepentingan umum.

Latheefa juga mendedahkan pihak berkuasa masih menyiasat kesahihan rakaman audio yang dikatakan mengandungi suara Najib dan beberapa individu lain.

Shafee juga sebelum itu bertanya adakah Latheefa pernah menyemak kriteria berhubung rakaman suara itu sebelum didedahkan kepada umum.

Ketua Pesuruhjaya itu tetap mendakwa beliau bertindak untuk kepentingan umum tanpa memerlukan kriteria-kriteria itu sebelum pendedahan.

Perbicaraan yang sudah masuk hari ke-88 akan terus bersambung pada Isnin depan dengan saksi, Latheefa akan terus disoal balas oleh peguambela.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak membantah dan akan menentukan seandainya boleh menerima atau sebaliknya rakaman audio berkaitan 1MDB itu nanti. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mmg gila betul latifah koyakkk ni .. dia sendiri belum pasti kebenaran audio tersebut , tp dah dihebahkan ke umum .. nak sangat latifah koyak ni mcm dah gila talak .. ini lah dia sifat latifah koyakkk yg ego besar diri dan sombong .. apa jenis ketutunan mvm ni .. porahhhh

Comments are closed.