Hisham Hamdan

KUALA LUMPUR- Pengerusi UDA Holdings Bhd. Datuk Hisham Hamdan menjelaskan gelombang kedua Covid-19 di Malaysia bukan bermula daripada beliau meskipun mempunyai kaitannya dengannya.

Tegasnya, beliau menghadiri persidangan di Shanghai, China pada 13 hingga 17 Januari yang mana ketika itu bandar raya tersebut masih belum mempunyai sebarang kes positif Covid-19.

Shanghai merekodkan kes pertama positif Covid-19 pada 20 Januari 2020.

Tambahan pula, simptom wabak berkenaan hanya muncul pada 27 Februari atau kira-kira lima minggu selepas Hisham pulang dari China dan ini menyebabkan terdapat kemungkinan beliau dijangkiti virus berkenaan ketika berada di Malaysia.

Ini kerana hasil penyelidikan saintifik menunjukkan proses inkubasi virus novel koronavirus itu mengambil masa kira-kira 14 hari sahaja.

Menurut Hisham, pertemuannya terkini dengan pesakit Covid-19 adalah pada 21 Februari ketika menghadiri satu mesyuarat, kira-kira lima minggu selepas beliau pulang dari Shanghai.

Tambahnya, beliau turut menghadiri beberapa mesyuarat dalam tempoh 21 Februari sehingga 27 Februari dengan individu-individu yang selepas itu disahkan positif Covid-19.

Hisham yang dikenal pasti sebagai kes 26 turut menghadiri mesyuarat pada 24 Februari dengan pengurusan UDA namun kesemua 13 mereka disahkan negatif Covid-19.

Beliau juga turut menghadiri satu majlis anjuran sebuah kementerian atas kapasiti Pengerusi UDA dan menegaskan tidak pernah menghadiri sebagai majlis berkaitan politik.

Artikel berkaitan: Pengerusi UDA positif Covid-19

“Bagi meringkaskan cerita, bersandarkan fakta-fakta yang telah saya nyatakan, saya mengaku mempunyai kaitan dengan kes-kes gelombang kedua Covid-19 di Malaysia tetapi “mempunyai kaitan” dan “menjadi sumber” virus tersebut adalah dua perkara yang sangat berbeza.

“Kita perlu memberikan sepenuh sokongan kepada Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti Pesakit Kosong.

“Satu lagi, berdasarkan penyelidikan perubatan, tempoh inkubasi bagi virus tersebut adalah dua minggu jadi saya tidak dijangkiti ketika dalam lawatan di Shanghai tambahan pula ketika itu, masih tiada kes positif direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hisham, kesemua ahli keluarga beliau disahkan negatif Covid-19, bagaimanapun pemandu beliau di UDA serta seorang paramedik di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) disahkan positif.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat lima kes baharu Covid-19 yang mana kesemua kes tersebut merupakan kontak rapat kepada kes 26.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast