resignation IRB CEO Najib Razak Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah
Datuk Seri Sabin Samitah

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menasihatkan pembayar cukai membuat laporan polis jika dokumen sokongan pelepasan cukai hilang bagi mengelakkan sebarang penalti.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sri Dr Sabin Samitah berkata, LHDN akan mempertimbangkan alasan jika dokumen benar musnah akibat bencana atau perkara di luar kawalan.

“Penyimpanan rekod dan dokumen tidak semestinya secara fizikal, ia boleh disimpan secara digital, dokumen diimbas dan disimpan salinannya di dalam memori komputer, telefon mahu pun cloud computing service.

“Ia bagi mengatasi kehilabgan dokumen kerana berpindah randah atau musnah kerana bencana,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette sini.

Artikel berkaitan: Tiada resit lama, LHDN ‘tarah’ pampasan?

Kelmarin MalaysiaGazette melaporkan aduan beberapa pembayar cukai yang mengeluh kerana terpaksa berhadapan penalti gara-gara tidak dapat menyertakan resit pembelian barangan/perkhidmatan untuk mendapatkan pelepasan cukai.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Sabin Samitah berkata, LHDN menekankan konsep percaya dan suci hati terhadap pembayar cukai untuk melaporkan secara sukarela dalam tempoh ditetapkan Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), tanpa perlu melampirkan dokumen sokongan ketika pengisytiharan cukai dibuat.

Katanya, konsep itu selaras dengan Sistem Taksir Sendiri (STS) bahawa pembayar cukai tidak perlu lampir dokumen pendapatan dan pelepasan cukai yang dituntut dalam borang nyata cukai.

“Sebagai memudahkan urusan percukaian, LHDN memperkenalkan sistem e-filing sejak 2006 di mana pembayar cukai boleh mengisytiharkan cukai dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter LHDN.

“Di bawah amalan STS, pembayar cukai bertanggungjawab menyimpan rekod dan dokumen percukaian mereka dengan baik selama tujuh tahun seperti termaktub Seksyen 82 ACP 1967.

“Kegagalan menyimpan rekod adalah kesalahan di bawah Seksyen 119A ACP 1967 dan jika sabit kesalahan denda atau hukuman penjara boleh dikenakan,” katanya.

Sabin menambah, LHDN bukanlah agensi terlalu rigid, pembayar cukai masih ada ruang membantah dan merayu jika tidak berpuas hati dengan taksiran dan penalti.

“Pembayar cukai boleh hadir ke LHDN dan diberi peluang untuk berbincang dan memberi maklum balas isu percukaian mereka, malah dialu-alukan hadir ke LHDN setiap Rabu iaitu Hari Bertemu Pelanggan sebagai platform mencari penyelesaian aduan berkaitan.

“Dalam konteks audit pula, ia bukan semata-mata mencari salah tetapi ia kaedah terbaik membuat teguran kepada pembayar cukai berkenaan kesilapan mereka dan memberi pemahaman cukai yang lebih baik,” kata kenyataan itu

LHDN turut mengalu-alukan sebarang cadangan dan ia boleh dikemukakan melalui emel [email protected]. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Polis dah tak de keja lain ka? laaa ni nak handle kes hilang resit beli buku plak?? Bengong betul LHDN..buat lah mcm claim yg normal..apa2 nak claim bagi terus resit; invois dll..saja je nak menyusahkan rakyat suruh simpan resit beli buku selama 7 tahun..

Comments are closed.