Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR –Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman sekali lagi menegaskan dirinya tidak akan sesekali membelakangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau enggan menerima jalan ‘singkat’ demi jawatan serta kedudukan yang ditawarkan dengan menyokong kepimpinan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, dirinya mempunyai ‘suara hati’ serta pegangan moral yang kuat dan tidak akan sesekali menjalin kerjasama dengan blok Perikatan Nasional (PN).

Syed Saddiq berkata demikian ketika diminta wartawan seandainya beliau juga mempunyai hasrat untuk menukar ‘kem’ seperti bekas pegawai khasnya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang kini sudah beralih kepada Muhyiddin.

“Sebenarnya, saya tidak akan menyertai beliau (Muhyiddin) kerana saya lebih rela hilang semua kedudukan berbanding pegangan moral tetapi saya juga ucapkan selamat maju jaya kepadanya,” katanya dalam perbualan kumpulan WhatsApp media hari ini.

Wan Ahmad yang juga Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA membuat kejutan apabila melahirkan sokongan tidak berbelah bahaginya kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas mengadakan pertemuan selama lebih dua jam.

Menerusi catatan di Twitter, Wan Ahmad Fayhsal mendedahkan hasil pertemuan dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)itu selepas mengambil asas ‘fiqh tabayyun’ (berpegang kepada kebenaran) dan menyerahkan diri kepada Allah.

“Yang keruh sudah dijernihkan, yang kusut sudah dikemaskan, yang kabur sudah dijelaskan. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyokong penuh Tan Sri Presiden Bersatu untuk terus menerajui kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri.

“Tan Sri (Muhyiddin) seharusnya terus diberikan kepercayaan untuk mendepani cabaran yang hebat ini.

“Semoga Allah terus memberi kekuatan dan kebijaksanaan kepada Tan Sri untuk menjaga BERSATU yang melindungi orang Melayu dan Bumiputera khususnya, rakyat Malaysia yang berbilang kaum, amnya,” katanya dalam laman sosialnya juga di kongsi dalam Facebook.

Namun demikian sejurus selepas memuat naik status tersebut, rata-rata netizen yang juga mungkin penyokong parti mengkritik tindakan Wan Ahmad.

Rata-rata merasakan tindakan Wan Ahmad itu sebagai ‘lalang’ dan tidak seharusnya kem Muhyiddin menerima pemimpin itu kerana sebelum ini, beliau melahirkan sokongan tidak berbelah bahaginya kepada Mahathir.

Selain daripada Syed Saiddiq, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga senada tidak akan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri manakala dua lagi bekas Menteri PPBM iaitu, Datuk Seri Rina Harun dan Datuk Mohd. Rezduan Md Yusuf pula berdiri belakang kepimpinan Muhyiddin. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast