Penyelaras PH, Aminolhuda Hassan (lima dari kiri) menyerahkan surat permohonan mengadakan Sidang DUN Khas kepada Speaker DUN, Suhaizan Kaiat di Pejabat Speaker DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Pakatan Harapan (PH) di negeri ini menyerahkan surat memohon diadakan Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengesahkan sokongan majoriti yang didakwa diterima Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad bagi membentuk gabungan baharu kerajaan negeri.

Surat tersebut diserahkan kepada Speaker DUN, Suhaizan Kaiat di Pejabat Speaker DUN di Kota Iskandar di sini pada 11 pagi ini.

Majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH hadir termasuk beberapa bekas Exco kerajaan negeri.

Penyelaras PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan diambil mereka itu bagi menuntut keadilan dan bukan untuk menderhaka mahu pun mempertikai lantikan dibuat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurutnya, tindakan itu bagi memperoleh bukti kesahihan sokongan majoriti didakwa diterima Menteri Besar.

“Jadi, kami menghantar surat bagi segera memanggil Sidang Dewan Negeri berdasarkan perkara 7(1) dan 7(2) Peraturan Dewan Negeri Johor.

“Tujuan permintaan itu adalah bagi menentukan sokongan yang diterima Menteri Besar Johor sesuai dengan maksud Fasa 4(6) Undang-Undang Negeri Johor,” katanya dalam sidang media yang diadakan selepas penyerahan surat itu.

Sementara itu, Suhaizan berkata, pihaknya menerima surat permohonan tersebut dan akan menilai untuk memberi justifikasi permohonan itu sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Kita baharu terima surat, kita akan menilai justifikasinya sebelum mengambil langkah seterusnya dan sebarang keputusan akan kita maklumkan kelak,” katanya. – MalaysiaGazette.

2 Komen

  1. X yah lah ph. Anda sudah gagal laksanakan janji. Anda(ph) mengharu birukan keadaan. Cukup2 lah.

Comments are closed.