Suhakam

KUALA LUMPUR – Wanita mempunyai peranan tersendiri dalam memperbaiki kesan kemiskinan di kawasan ekonomi rendah yang memberi kesan dan terkesan oleh pendidikan meskipun masih berlaku ketaksamaan dalam pencapaian golongan itu di negara ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata, markah Indeks Jurang Gender Malaysia Jabatan Perangkaan Malaysia ialah 0.727 walaupun pencapaian wanita lebih tinggi di peringkat sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi dan hampir sama dengan lelaki dari segi tahap literasi iaitu pada kadar 96.3% kepada lelaki 97%.

Secara purata, wanita memperoleh pendapatan sebanyak RM9.32 bagi setiap RM10 yang diperolehi lelaki.

Dari segi pemerkasaan politik, hanya 14.4% Ahli Perlimen yang dipilih adalah wanita, menurutnya dalam satu kenyataan sempena Hari Wanita Sedunia 2020 yang bertemakan “Saya ialah Generasi Kesamaan: Menyedari Hak-Hak Wanita”.

Suhakam berkata, tema ini seiring dengan kempen multi-generasi baharu Wanita Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai tanda ulang tahun ke-25 Perisytiharan Beijing dan Platform Tindakan, hala tuju progresif untuk memperkasakan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun tanpa pengecualian juga membolehkan remaja untuk lebih fokus kepada pendidikan dan membolehkan mereka mempunyai kebebasan kewangan, maju ke hadapan dan diperkasakan sepenuhnya.

Dengan memperuntukkan peluang secara rasmi dan tidak rasmi kepada wanita untuk dibimbing dan meningkatkan kemahiran juga penting untuk menaik taraf kebolehan mereka bagi memegang peranan sebagai pemimpin dalam bidang profesional dan politik.

Tambahnya, masyarakat perlu menggalakkan belia serta wanita bukan sahaja bangkit sebagai pemimpin, tetapi bagi memastikan persekitaran akan menyokong mereka sepenuhnya melalui inisiatif antaranya seperti pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, cuti paterniti dan waktu kerja fleksibel. – MalaysiaGazette