KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan sektor swasta bagi membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 di rumah.
Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kini orang awam yang tidak mempunyai gejala Covid-19, iaitu individu yang tidak menepati Pesakit Di Bawah Siasatan (PUI-Patient Under Investigation), boleh menjalani ujian tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan di bawah kementerian itu.
“Orang awam boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan memuatnaik aplikasi berkaitan bagi menentukan masa lawatan ke rumah bagi tujuan pengambilan sampel.
“Bagaimanapun, perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 ini akan dikenakan caj oleh pihak syarikat swasta berkenaan,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.
Setakat ini sebanyak 11 syarikat swasta menawarkan perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 iaitu Bookdoc, Pantai Premier Pathology Sdn. Bhd., Lablink (M) Sdn. Bhd. (KPJ), Qualitas Medical Group Sdn. Bhd., Gleneagles Kuala Lumpur, Hospital Pantai Kuala Lumpur.
Hospital Pantai Cheras, Hospital Pantai Klang, Hospital Pantai Ayer Keroh (Melaka), Twin Tower Medical Centre (KLCC) dan DoctorONCall.
Menurut Noor Hisham, kerjasama itu membabitkan melatih anggota pihak swasta mengendalikan kes PUI, melatih pengambilan dan pengendalian sampel Covid-19 dan kawalan mutu ujian Covid-19.
Tambah beliau, perkhidmatan pengambilan sampel ini dilakukan oleh pegawai perubatan dan paramedik swasta yang terlatih yang mana sampel akan dihantar ke makmal swasta untuk dianalisa. – MalaysiaGazette