Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akan mengetuai satu badan bertindak bagi memantau dan mengawasi penularan wabak Covid-19 di Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu dipersetujui sendiri oleh Dzulkefly dalam Majlis Tindakan Covid-19 Negeri Selangor bermesyuarat buat kali pertama, hari ini.

“Mesyuarat telah bersetuju sebulat suara untuk mengadakan suatu badan bertindak bagi memantau dan mengawasi virus ini.

“Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, mantan Menteri Kesihatan Malaysia telah bersetuju untuk mengetuai badan bertindak ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Amirudin, badan bertindak itu akan bekerjasama dengan Smart Selangor Command Centre dan menggunakan sistem maklumat geografi untuk menjejaki virus berbahaya itu.

“Maklumat ini kemudiannya akan dikongsikan dengan pihak-pihak berwajib untuk langkah-langkah seterusnya.

“Langkah pencegahan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia wajar dipatuhi bagi mengelakkan berlaku jangkitan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin juga dimaklumkan Jabatan Kesihatan Selangor memaklumkan sebanyak 60 peratus daripada kes-kes wabak itu membabitkan warga negeri Selangor.

“Orang ramai tidak perlu khuatir kerana keadaan setakat ini masih terkawal.

“Kerajaan Negeri mengambil berat kemaslahatan umum dan akan
melaksanakan segala langkah yang perlu bagi membendung merebaknya virus ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jabatan Kesihatan Selangor tu di bawah Kerajaan Negeri ke di bawah Kementerian Kesihatan?? Isu kesihatan tu bawah kerajaan pusat ke bawah kerajaan negeri?? Yg negeri ni nak pakai fasiliti sape??? Bengong betul kerajaan negeri ni

Comments are closed.