KUALA LUMPUR – Moody’s Analytics mengunjurkan harga minyak rendah sepanjang 2020 selepas kegagalan perjanjian mengurangkan pengeluaran antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan Arab Saudi dan Rusia yang menyebabkan harga jatuh menjunam, penurunan terbesar sejak 1991.

Pakar Ekonomi Tenaga Moody’s Analytics Chris Lafakis berkata, peserta pasaran perlu bersedia dengan jangkaan harga minyak diniagakan sekitar US$30 setong.

Menurutnya, peserta pasaran menjangkakan OPEC+ (negara-negara OPEC tambah 10 negara pengeluar minyak bukan-OPEC termasuk Rusia) melanjutkan perjanjian pengurangan pengeluaran yang dijadualkan berakhir pada Mac.

“Tetapi berdepan dengan berita bahawa Rusia tidak akan menyertainya, Arab Saudi memutuskan untuk mengikut jejak langkahnya. Negara itu membayangkan bahawa ia akan meningkatkan pengeluaran melebihi 10 juta tong sehari,” katanya dalam satu kenyataan.

Lafakis berkata tindakan itu memberikan tamparan hebat kepada pengeluar minyak ditambah lagi dengan penularan COVID-10 yang telahpun menjejaskan permintaan terhadap perjalanan dan pengangkutan.

“Dunia kini berdepan dengan lebihan bekalan minyak mentah yang nampaknya akan berterusan sehingga tempoh beberapa bulan,” katanya sambil menambah untuk memulihkan semula harga minyak memerlukan tiga syarat.

Syarat pertama, katanya, kebimbangan global terhadap pandemik COVID-19 perlu reda, kerana kebimbangan akan menjejaskan dengan ketara aktiviti ekonomi global, terutamanya dalam sektor perjalanan dan pelancongan.

Keduanya, eksplorasi dan pengeluaran minyak perlu dikurangkan: terutamanya pengeluar dengan kos paling tinggi di dunia dengan kitaran proses yang sangat pantas perlu berhenti mencari minyak.

Ketiganya, perselisihan geopolitik antara Arab Saudi dan Rusia perlu ditamatkan.

“Kerjasama mereka telah menstabilkan harga minyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini. tetapi tanpa kerjasama itu, pasaran minyak akan menjadi tidak menentu yang mana hanya pengeluar dengan kaedah pengeluaran yang paling padu boleh meraih keuntungan,”katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Dasar Monetarinya Ryan Sweet berkata impak daripada penurunan harga memberi kelebihan kepada perbelanjaan pengguna.

‘Bagaimanapun, implikasi terhadap pelaburan berkaitan tenaga adalah tidak menentu kerana ia bergantung kepada pulang modal harga minyak.

“Justeru itu, penurunan harga minyak boleh menjejaskan ekonomi suku ini dan suku akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast