KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal memikul cabaran yang jauh lebih besar berbanding Pakatan Harapan (PH) yang mewarisi daripada Barisan Nasional (BN).
Ini kerana, kata Datuk Seri Najib Razak, PH mewarisi ekonomi negara yang kukuh ketika mengambil alih dari BN
Ketika itu, katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kukuh pada kadar 5.9% pada tahun 2017 sehingga Bank Dunia kata Malaysia bakal capai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Selain itu, kadar pertumbuhan eksport negara berkembang sebanyak 18.9% (2017), bursa saham mencapai paras paling tinggi dalam sejarah pada bulan April 2018, dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) paling tinggi sejak 20 tahun lalu, defisit bajet yang menurun 8 tahun berturut-turut.
Malah, jumlah hutang langsung negara berjumlah RM686.8 bilion, rizab tunai Petronas sebanyak RM176 bilion dan kekayaan negara sebanyak RM2 trilion, nilai aset bersih Khazanah Nasional RM116 bilion, nisbah hutang negara kepada KDNK pada paras 48.7%, sistem pencukaian yang moder, efisien dan bertaraf antarabangsa serta kebergantungan negara kepada hasil minyak yang berjaya diturunkan 8 tahun berturut-turut menjadi 12.7% sahaja.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mendakwa PH telah menjahanamkan negara dan ekonomi dalam masa yang singkat dan mewariskannya kepada PN.
Ia berdasarkan kepada pertumbuhan KDNK paling lemah sejak 10 tahun lalu, pertumbuhan eksport pada kadar negatif 1.9%, pasaran saham paling corot dalam dunia – jatuh 400 point sebelum harga minyak merudum dan wabak Covid-19 bermula.
Juga dividen KWSP paling rendah sejak 11 tahun lalu, dividen ASB, hibah Tabung Haji dan dividen LTAT paling rendah dalam sejarah, defisit bajet dan perbelanjaan tahunan kerajaan yang jauh lebih besar, hutang langsung negara yang naik hingga RM820 bilion dan rizab Petronas dijarah RM104 bilion sehingga Petronas diturun taraf buat kali dalam sejarah oleh Moody’s.
Selain itu, nilai aset bersih Khazanah Nasional yang turun dari RM116 bilion kepada RM73 bilion, nisbah hutang negara yang naik dari 48.7% ke 53% iaitu sudah menghampiri had 55% yang ditetapkan dalam undang-undang, sistem pencukaian dari zaman purba yang 95% daripada negara-negara lain sudah buang, kebergantungan negara kepada hasil minyak yang dinaikkan semula menjadi 33% yang merupakan risiko besar apabila harga minyak dunia menjunam ke paras sangat rendah seperti apa yang sedang berlaku sekarang.
Menurut beliau, PH berjaya membuktikan kegagalan mereka dengan menjahanamkan sebuah ekonomi yang kukuh menjadi buruk.
”Sekarang pula, kerajaan PN diberikan peluang untuk membuktikan mereka mampu memulihkan sebuah ekonomi yang sudah lemah,” katanya dalam hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette