KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak membuat keputusan untuk merehatkan penjaga gol utama, Ifwat Akmal Chek Kassim bagi menghadapi UiTM FC pada aksi ketiga CIMB Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam malam ini.
Tindakan itu diambil bagi memberikan ruang kepada Ifwat yang gagal beraksi dengan baik ketika berdepan Terengganu FC selepas Kedah dikejutkan dengan kekalahan 3-4 di laman sendiri, Sabtu lalu.
Tambah Aidil, beliau tidak mengambil pendekatan untuk menghukum Ifwat malah masih yakin penjaga gol berusia 23 tahun itu masih antara yang terbaik di Kedah dan tidak wajar menilainya hanya dalam satu perlawanan.
” Saya harus membantu Ifwat kerana semua orang tahu dia sudah banyak membantu pasukan sebelum ini ketika di final pada musim lalu.
” Jadi, kena beri ruang kepada dirinya untuk berehat seketika dan saya kena ingatkan satu aksi buruk bukan bermakna dia adalah seorang penjaga gol yang teruk.
” Saya mahu dia kembali bangkit selepas ini dan bersedia bagi hadapi perlawanan seterusnya pada penghujung minggu nanti iaitu berdepan Selangor,” katanya.
Ketiadaan Ifwat bermakna Shahril Saa’ri atau Muhd Azri Ghani bakal mengemudi gawang Kedah berdepan UiTM FC.
Dalam masa sama, Aidil tetap bimbang ancaman yang akan diberikan UiTM FC walaupun pasukan itu turut tewas dua perlawanan berturut-turut seperti mana Kedah.
Jelas Aidil, beliau teruja melihat persembahan UiTM pada aksi terakhir ketika tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan menamakan dua pemain import, Gustavo Almeida dan Rabih Ataya sebagai pemain yang perlu diberi perhatian rapi.
“Saya ada saksikan aksi mereka ketika berdepan JDT dan jelas mereka sebuah pasukan berdisiplin serta punyai ramai pemain muda yang berpotensi.
“Jelas sama sekali kami tidak boleh ambil mudah dengan UiTM kerana bila sesebuah pasukan berjumpa dengan mana-mana pasukan yang ada reputasi,mereka akan selalu mahu buktikan sesuatu.
“Pertahanan kami juga berhati-hati kerana kualiti serangan dimiliki UiTM amat baik terutama pada penyerang nombor 30 (Gustavo) dan 10 (Ataya) yang boleh memusnahkan kami,” katanya.
Selain tumbang kepada Terengganu di Stadium Darul Aman, Kedah tewas 0-1 kepada JDT pada perlawanan Piala Sumbangsih untuk tidak mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan. – MalaysiaGazette