BANGKOK – Thailand menggantung kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) untuk 19 negara dan wilayah termasuk China dan India sebagai langkah membendung penularan wabak koronavirus baharu (COVID-19) di negara berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Jeneral Anupong Paochinda berkata pengecualian visa juga akan dibatalkan untuk Korea Selatan, Itali dan Hong Kong.
“Rakyat dari negara yang disenaraikan perlu memohon visa dengan Kedutaan Thailand di negara masing-masing,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Kemudahan VOA digantung untuk warga dari 19 negara dan wilayah iaitu Bulgaria, Bhutan, China, Cyprus, Ethiopia, Fiji, Georgia, India, Kazakhstan, Malta, Mexico, Nauru, Papua New Guinea, Romania, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Uzbekistan dan Vanuatu.
Bagaimanapun, penggantungan VOA akan berkuat kuasa sehari selepas penyiaran jurnal awam Warta Diraja.
Anupong berkata pengunjung dari kawasan yang dilanda penyakit – China, Hong Kong, Macau, Korea Selatan, Itali dan Iran perlu memohon visa serta sijil perubatan untuk membuktikan mereka bebas dari COVID-19 sebelum menaiki penerbangan ke Thailand.
Sementara itu, Thailand mengesahkan enam kes baharu COVID-19 iaitu membabitkan seorang warga Singapura dan lima rakyat tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan 59 kes dan satu kematian di negara itu.
Seramai 34 pesakit telah dibenarkan discaj dari hospital manakala 24 lagi masih menerima rawatan di hospital.
Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Sophon Iamsirithawon berkata kes terbaru itu termasuk warga Singapura yang memilik sebuah restoran di Bangkok yang disahkan positif semalam.
Di samping itu, dua pegawai termasuk seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi turut dikesan positif.
“Kedua-dua pegawai itu tidak bekerja di lokasi yang sama. Mereka berdua ini berurusan dengan pelawat asing dan mengendalikan barangan serta pasport mereka,” katanya pada taklimat harian COVID-19 hari ini.
Tiga lagi kes terbaru membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 25 dengan tiada sejarah melakukan perjalanan ke luar negara, seorang wanita berusia 27 tahun yang kembali dari Korea Selatan dan seorang lelaki berusia 40 tahun yang kembali dari Jepun.
— BERNAMA