Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Sejumlah 189 Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di seluruh negara dijadualkan mengadakan persidangan bahagian masing-masing serentak pada 18 April 2020.

Sempena persidangan bahagian itu, para perwakilan akan memilih kepimpinan parti di peringkat nasional, iaitu ahli jawatankuasa Majlis Pimpinan Tertinggi bagi penggal 2019 –
2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, jawatan-jawatan yang dipertandingkan ialah Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Pengerusi, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden (tiga orang) dan Ahli Jawatankuasa (dua puluh orang).

Katanya, Persidangan Armada dan Srikandi Bahagian pula masing-masing dijadualkan berlangsung pada 11 April 2020.

“Para perwakilan di Persidangan Srikandi dan Armada Bahagian hendaklah memilih kepimpinan masing-masing di peringkat
nasional, iaitu Ahli Jawatankuasa Srikandi Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Armada Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatan-jawatan yang dipertandingkan ialahPengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua, Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa (Limabelas orang).

Menurut beliau, pendaftaran pencalonan untuk pertandingan
bagi jawatan-jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi, Jawatankuasa Srikandi Malaysia dan Jawatankuasa Armada Malaysia akan diadakan jaml 10 hingga 3 petang pada 16 Mac ini di Ibupejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Tambah Syed Hamid, setelah JPP menyaring borang-borang pencalonan dan bakal-bakal calon disahkan untuk bertanding, cabutan nombor calon akan diadakan pada 23 Mac 2020. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast