Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Menteri Kanan yang memegang jawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Melawati, Putrajaya. foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 10 MAC 2020.

KEMELUT pentadbiran negara penghujung bulan lalu menemui titik noktah dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong agar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Muhyiddin, 72, merupakan tokoh politik berpengalaman yang dikenali dengan kesabaran sememangnya memiliki karisma kepimpinan.

Baru-baru ini barisan Kabinet negara dimuktamadkan menerusi pelantikan 31 orang menteri untuk mengisi pelbagai portfolio dan Kementerian Pertahanan digalas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama timbalannya, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz.

Sebagai menteri kanan, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memiliki pengalaman luas kerana pernah menerajui empat kementerian. Antaranya ialah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Sepanjang 10 tahun berada dalam Kabinet kerajaan terdahulu menerajui empat kementerian yang berbeza, Ismail Sabri telah menyempurnakan tugasnya dengan amat baik.

Mindef merupakan kementerian yang begitu penting dengan menjunjung tugas-tugas kritikal, strategik serta mencakupi dasar-dasar serta hubungan luar negara. Ia juga berkait rapat dengan soal diplomasi serta menjaga baik hubungan dengan negara-negara berjiran serta sekutu.

Biarpun bukan sebuah kementerian yang menyumbang pendapatan kepada negara tetapi kesan daripada kestabilan dalam negara dan pertahanan memungkinkan ekonomi negara berkembang menerusi nilai keamanan hasil tanggungjawab warga Mindef.

Asas sebagai Menteri Pertahanan (Menhan) perlulah arif tentang dasar-dasar negara dan ilmu hubungan antarabangsa. Sebagai lulusan Ijazah Undang-Undang Universiti Malaya, Ismail Sabri semestinya berpengatahuan dalam hal ehwal pentadbiran awam dan sains politik.

Untuk arif mengenai kelengkapan ketenteraan mungkin bersifat terlalu teknikal, tetapi tidak dapat tidak perkara tersebut perlu diambil tahu kerana mengetuai sebuah kementerian yang berkaitan ketenteraan.

Bagaimana pun, hal ini tidaklah memberi impak yang ketara sekiranya individu yang dilantik sebagai Menhan dapat mengetahui ruang lingkup yang perlu dimainkan.

Menyentuh soal menerajui Mindef tidak dapat lari daripada tentang soal perolehan yang ketika ini dilihat berlaku terlalu perlahan. Jujurnya, setiap cabang perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggariskan keperluan masing-masing untuk mengekalkan ATM sebagai angkatan yang kredibel.

Isu sama juga kerap diulas banyak pihak. Perkara ini amat penting kerana apa yang dirancang adalah bagi kegunaan 10 tahun akan datang dan bukan hari ini. Jadi selain Menhan, penting juga bagi ahli-ahli politik mempunyai kesedaran selain sifat ingin tahu tentang apa-apa keperluan bagi pertahanan negara.

Menhan sebagai tunjang Mindef juga perlu mendapatkan pandangan yang benar tentang ATM. Beliau juga perlu diberi nasihat yang betul sekiranya perlu membuat sebarang kenyataan terbuka misalnya perihal aset sedia ada agar tidak memberi gambaran sebaliknya termasuk seolah-olah mendedahkan kelemahan.

Secara kebetulan juga, isu kelewatan penghantaran helikopter MD530G dibeli Tentera Darat (TD) yang tertunda sejak tiga tahun lalu hampir selesai. Difahamkan helikopter pertama akan diterima pada penghujung tahun ini manakala bakinya secara berperingkat-peringkat pada tahun hadapan.

Pemilihan helikopter pengganti Nuri untuk Pasukan Udara Tentera Darat juga memerlukan penilaian tepat dibuat. Apa yang pasti, pesawat pengganti ini hendaklah memiliki ciri-ciri serta keupayaan sama seperti Nuri pada kos perolehan yang berpatutan.

Begitu juga perolehan 18 sistem artileri LG1 Mark III Nexter 105mm yang dimeterai dua tahun lalu juga hampir selesai. Meriam pemasangan tempatan ini akan dimulakan tidak lama lagi seterusnya dibekalkan kepada Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para) dengan jumlah keseluruhan akan ditambah secara berperingkat-peringkat.

Soal keselamatan di perairan Laut China Selatan dan pencerobohan asing juga perlu diberi perhatian. Biar pun ada platform diskusi antara ketua-ketua negara namun di pihak kerajaan aspek pertahanan maritim selain diplomasi wajib diutamakan.

Keperluan mendesak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ialah kapal-kapal peronda bagi menggantikan kapal-kapal penyerang laju yang telah mencecah 45 tahun.

Memandangkan proses perolehan sehingga pembinaan sesebuah kapal peronda memakan masa yang panjang, seharusnya perlu ada solusi jangka pendek untuk mengimbangi perkara ini.

Selain itu, TLDM juga memerlukan kapal sokongan pelbagai peranan.

Begitu juga perolehan pesawat tempur ringan (LCA) yang diintai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang perlulah dimuktamadkan sebelum LIMA 2021 nanti atau lebih awal lagi. Kita tidak mahu LIMA menjadi tempat desas-desus apa yang hendak dibeli tetapi bertukar senyap sebaik tamat penganjuran.

Faktor kewangan juga menyebabkan TUDM terpaksa menangguhkan dahulu cadangan penggantian pesawat pejuang pelbagai peranan yang tertunda lebih 10 tahun lalu. Ada beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan termasuk mendapatkan pesawat terpakai.

Cuma, adakah ia berbaloi atau menepati kehedak sebenar pasukan ini.

Turut diberi perhatian ialah soal kebajikan warga tentera serta para veteran. Ia mencakupi kemudahan kuarters, kem atau pangkalan yang lebih baik serta pembinaan perumahan oleh pemaju swasta kepada para veteran. Perkara ini memang sedia ada cuma perlu ditambah baik jika ada kekurangan.

Bagaimana pun, perlu diakui keadaan ekonomi semasa yang tidak begitu baik turut memberi kesan terhadap ‘poket’ negara.

Selain kejatuhan harga komoditi, serangan wabak Covid-19 sedikit demi sedikit bakal menampakkan kesan terhadap kelembapan ekonomi kita sekiranya terus berpanjangan dan tidak ditangani dengan bijak.

ZAKI SALLEH

ZAKI SALLEH merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast