Pegawai MAIS menerangkan fungsi hibah dan wasiat kepada pelanggan pada sesi temubual ekslusif bersama Malaysia Gazette di Majlis Agama Islam Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 10 MAC 2020

RAMAI di kalangan kita menganggap menulis wasiat adalah perkara yang tidak begitu penting. Maka, tidak hairanlah ramai orang Islam tidak membuat persiapan menulis wasiat kerana beranggapan urusan harta diletakkan di bawah faraid sahaja.

Penulisan wasiat seharusnya perlu dilakukan mulai dari sekarang dan semasa tubuh anda masih sihat.

Jangan mengambil sikap tunggu dan lihat atau tangguh untuk beberapa waktu. Ia kelak boleh merugikan diri sendiri.

Sebahagian daripada kita sering mendakwa tidak mempunyai harta yang hendak diwasiatkan. Harta yang ada berupa sebuah kereta dan sebuah rumah dianggap hanya hal yang kecil dan remeh untuk difikirkan.

Sebagai seorang yang bertanggungjawab dan selagi kita mempunyai hutang, kita mestilah menyediakan satu penulisan berbentuk pesanan untuk pembahagian harta dan waris anda menjelaskan hutang yang bakal ditinggalkan.

Tetapi kecenderungan masyarakat kita kini yang sibuk bekerja mencari rezeki siang dan malam untuk ahli keluarga menyebabkan kita terlupa untuk membuat pesanan berkaitan harta.

Kesannya, waris-waris yang ditinggalkan tidak mengetahui kedudukan harta pusaka anda. Ia akan menyukarkan waris-waris terutama kalau anda mempunyai hutang, pesanan yang tidak dinyatakan secara bertulis dan pelbagai lagi.

Lebih malang lagi, berlaku polemik dan pergeseran di kalangan ahli keluarga kerana tidak memahami kaedah mengurus harta yang sebenar. Ikatan silaturrahim yang terbina selama bertahun-tahun lamanya boleh terlerai oleh sebab perebutan harta di kalangan waris-waris yang ditinggalkan.

Lebih buruk dari itu, hubungan ibu bapa dan anak-anak terputus begitu sahaja kerana sikap tamak haloba dan cemburu di dalam diri anggota keluarga.

Diantara pegawai MAIS menerangkan fungsi hibah dan wasiat kepada pelanggan pada sesi temubual ekslusif bersama Malaysia Gazette di Majlis Agama Islam Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 10 MAC 2020

Oleh kerana itu, persediaan mengurus harta secara bijaksana perlu dilakukan bagi mengelakkan pergeseran di kalangan ahli keluarga dan kaum kerabat.

WASIAT ertinya iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayat ke atas hartanya untuk disempurnakan selepas kematiannya bagi maksud kebajikan yang dibenarkan menurut Hukum Syarak.

Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat.

Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah:180)

Kemudian, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turunnya ayat mawarith dalam surah Al-Nisa, iaitu yang menerangkan hak-hak dan pembahagian pusaka melalui hukum faraid contohnya melalui ayat yang bermaksud: “Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”. (Surah Al-Nisa’: 7)

Dari segi kedudukan wasiat, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya.” (Surah Al-Nisa’: 11)

Manakala hadis daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, tidak sepatutnya tidur selama dua malam, melainkan dalam keadaan wasiat telah siap ditulis di sisinya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Melalui hadis di atas, jelas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan wasiat dibuat bila mana telah terlintas di hati untuk membuat sesuatu wasiat.

Berwasiat merupakan suatu tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat terhadap pembahagian harta yang dikumpul semasa hidup. Perwarisan harta yang dirancang melalui wasiat dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga yang tersayang selepas kematian.

Justeru, menulis wasiat adalah sangat berfaedah kerana pelantikan wasi melalui dokumen wasiat akan memudahkan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian.

Pelantikan penjaga yang dipercayai melalui wasiat akan menjamin kebajikan anak-anak di bawah umur selepas kematian anda.

Pada masa yang sama, ia juga akan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh waris-waris yang ditinggalkan.

Dalam hal ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) boleh menjadi wasi kepada wasiat anda berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menyebut “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.”

Untuk itu, MAIS mengambil inisiatif khas bagi memudahkan umat Islam menulis wasiat termasuk melaksanakan transformasi baru bagi pengurusan harta pusaka dan wasiat dengan memberi kemudahan kepada masyarakat Islam untuk menulis wasiat dengan lebih mudah, pantas dan efektif melalui dalam talian.

Pengarah Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor, Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid menerangkan fungsi hibah dan wasiat pada sesi temubual ekslusif bersama Malaysia Gazette di Majlis Agama Islam Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 10 MAC 2020

Menurut Pengarah Sektor Baitulmal MAIS, Indera Shahril Mohd Shahid, kini dengan hanya RM300, masyarakat boleh boleh berwasiat melalui mereka

Ujarnya, itu antara kaedah MAIS dalam usaha mereka mendidik masyarakat Islam agar menguruskan harta pusaka dengan lebih teratur dan sistematik.

“Dengan cara ini, ia secara tidak langsung akan mampu menangani masalah pembahagian harta pusaka apabila seseorang itu meninggal dunia disamping mengelakkan sebarang isu pergaduhan atau perebutan harta pusaka antara waris sebagaimana yang kerap berlaku dalam masyarakat kita sejak akhir-akhir ini.

“Melalui e-Wasiat ini, MAIS akan melaksanakan pengurusan dan pembahagian wasiat dan harta pusaka dengan telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada benefisiari dan ahli waris,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Sehingga kini, kata Indera Shahril, MAIS telah menerima lebih 2,000 orang yang menggunakan perkhidmatan e-Wasiat selepas pelancarannya.

Justeru itu, katanya, MAIS berharap umat Islam khususnya di Selangor akan menggunakan kemudahan ini bagi pengurusan wasiat mereka.

Permohonan pendaftaran akaun e-Wasiat ini mudah diakses dan pengguna hanya perlu membuat pendaftaran dengan mengisi borang dan maklumat harta-harta serta harta yang ingin diwasiatkan.

Untuk lebih memudahkan, pembayaran perkhidmatan ini boleh dibuat secara atas talian untuk proses lanjutan penulisan wasiat.

MAIS juga menyediakan platform media sosial iaitu Facebook Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memudahkan masyarakat berinteraksi dan mengetahui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Masyarakat yang ingin mendapatkan perkhidmatan e-Wasiat ini boleh melayari laman web di www.mais.gov.my. Sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah terus hubungi pegawai di Bahagian Harta Baitulmal, MAIS di talian 03-5514 3773/3772 atau email terus ke [email protected]. – Malaysia Gazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast