KUALA LUMPUR – Kertas Putih yang telah dibentang dan dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan akan menjadi panduan Kementerian Pertahanan dalam membuat perancangan pada masa depan.
Menteri Pertahanan baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini adalah bukti bahawa kerajaan yang baru dibentuk ini adalah matang dan sentiasa mengamalkan demokrasi.
Kerajaan ini akan kekal komited dalam memastikan pertahanan negara terus diperkukuh dan diperkasakan untuk tempoh 10 tahun akan datang seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
“Kertas Putih Pertahanan yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 2 Disember 2019 akan menjadi panduan utama MINDEF dalam membuat perancangan dan pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
“Pertahanan negara adalah satu agenda negara yang tidak boleh dikompromi dan setiap dasar yang telah dipersetujui di Parlimen akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh Kerajaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena hari pertama melaporkan diri sebagai Menteri Pertahanan di Jalan Padang Tembak.
Dalam kenyataan itu, Ismail menjelaskan Kementerian Pertahanan akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan ATM, pengukuhan pertahanan secara komprehensif melalui pendekatan seluruh kerajaan dan masyarakat, serta perkongsian yang berwibawa dengan negara-negara jiran serta negara-negara luar dalam memastikan keselamatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat.
Beliau tiba ke pekarangan Kementerian Pertahanan 9.30 pagi diiringi kereta pengiring dan polis motosikal berkuasa tinggi sebelum dijemput oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendy Buang dan para pegawai kanan ATM dengan istiadat ketenteraan.
Beliau kemudian menghadap kawalan lintas hormat tentera Melayu Diraja sebelum memeriksa perbarisan sekitar 9.34 pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz.
Beliau kemudian bersalam dengan semua warga ATM sebelum mengimbas kad perakam waktu tepat 9.42 pagi tadi sebagai tanda memulakan tugasnya secara rasmi sebelum menuju ke pejabat beliau dengan diiringi Timbalan Menterinya dan Affendy Buang.
Tiada ucapan dan sebarang sidang media diadakan berikutan Ismail Sabri Yaakob difahamkan akan bergegas ke World Trade Center Kuala Lumpur (WTC) untuk mesyuarat UMNO.
Dalam kenyataan sama, katanya, kementerian akan terus memberi perhatian kepada kebajikan anggota dan veteran ATM, serta warga awam yang bertugas di Kementerian Pertahanan.
Menurutnya, kebajikan merupakan salah satu elemen penting dalam tahap kesiagaan yang tidak boleh diambil remeh dan perlu diberi keutamaan sewajarnya oleh kerajaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Kementerian Pertahanan terdahulu yang telah membawa agenda pertahanan negara ke peringkat ini serta semua warga kementerian itu yang bertungkus lumus memastikan segala tugasan berjalan dengan lancar dan keberhasilan yang terbaik demi kepentingan negara.
“Saya berharap warga MINDEF akan terus memberi kerjasama penuh dan sokongan padu kepada saya dan Timbalan saya dalam menguruskan pertahanan negara.
“Untuk peringkat awal, saya dan timbalan saya akan duduk bersama Pengurusan Tertinggi MINDEF bagi mendengar taklimat dan mendapatkan kefahaman berhubung urusan pertahanan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette