KUANTAN – Pelajar yatim piatu yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, layak menerima Faedah Pencen Penakat, hasil caruman arwah ibunya.
Berdasarkan kelayakan tersebut, Maizatul Akmal layak menerima bayaran Pencen Penakat bermula daripada 18 September 2015 sehingga beliau menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, pihaknya mendapat tahu kisah pelajar cemerlang ini melalui media sosial lalu menjejaki Maizatul untuk mendapatkan maklumat ibu bapanya.
”Dengan kerjasama gurunya, Perkeso menghubungi Maizatul Akmal dan membuat semakan rekod kedua ibu bapanya di bawah skim perlindungan keselamatan sosial. Setelah semakan dibuat, Maizatul Akmal didapati layak menerima Faedah Pencen Penakat, hasil caruman ibunya,” kata Perkeso dalam kenyataan di sini.
Maizatul adalah bekas pelajar jurusan Sains Tulen SMK Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang yang telah kematian ibu dan bapanya dan kini tinggal menumpang kasih bapa saudaranya yang berumur 63 tahun.
Kisah ketabahan Maizatul ini dikongsikan oleh gurunya di media sosial.
Calon SPM 2019 ini ditimpa kemalangan hujung tahun lalu sehingga terpaksa menjawab soalan Kertas Matematik di hospital.
Kira-kira dua bulan selepas tamat peperiksaan SPM, bapanya, Mahat Muda, 56, meninggal dunia akibat diserang angin ahmar. Sebelum itu, ibunya, Salmah Mohd, 52, meninggal dunia akibat diserang angin ahmar pada 18 September 2015.
Maizatul Akmal adalah anak bongsu daripada dua adik beradik tetapi abangnya telah meninggal dunia 10 tahun lalu.
Dengan keputusan 9A yang diperolehnya, remaja itu berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas dalam jurusan Kejuruteraan Kimia. – MalaysiaGazette