PUTRAJAYA – Sembilan kes terbaharu Covid-19 dilaporkan pada hari ini, kata Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, angka itu sekaligus menyaksikan kumulatif jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan setakat ini adalah seramai 158.
Manakala enam kes terbaharu telah didiscaj dan dibenarkan pulang sekaligus jumlah keseluruhan yang didiscaj setakat 11 pagi hari ini adalah 32 orang.
“Daripada sembilan kes, satu dikaitkan dengan kluster pertama iaitu dikaitkan dengan kes 26 dan kes 33, dan selebihnya pesakit dalam siasatan (PUI) dan salah satu lagi dikaitkan dengan kes 131,” jelasnya pada sidang media hari ini.
Ditanya berapa besar skala yang dimaksudkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menasihati orang awam mengelak perhimpunan awam, kata Noor Hisham lagi, ia melibatkan perhimpunan awam melebihi 250 orang sebagai langkah berjaga-jaga daripada Covid-19.
Ditanya mengenai 5,000 orang yang dikatakan berhimpun awam di Tabligh di Masjid Sri Petaling baru-baru ini, katanya, ia bukan kes sporadik kerana mereka boleh dikesan dengan mudah dan sudah dikenalpasti untuk tindakan sewajarnya.
“Mereka sudah balik ke negeri asal masing-masing dan kita sudah mempunyai laporan dari beberapa negeri, jadi kita sedang dapatkan maklumat.
“Selepas itu barulah kita akan buat analisa dan mengesahkan berapa ramai dikaitkan dengan perhimpunan itu, dan kalau nak terperinci negeri terlibat yang dikesan adalah Sabah, Kuantan Pahang, Johor Bahru, Perak, Kota Bharu.
“Kami juga sudah menasihati mereka supaya menghubungi KKM dan hospital berhampiran dan yakin boleh mendapatkan mereka untuk tindakan sewajarnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu sejak gelombang kedua Covid-19 bermula, ia tidak lagi melibatkan kes warga China tetapi kebanyakan melibatkan warga tempatan dari Lembah Klang sahaja.
Noor Hisham menjelaskan pihaknya perlu menjalankan analisis kesemua kes berkenaan terlebih dahulu sebelum membuat pecahan mengikut negeri-negeri.
“Saya tidak rasa ada masalah untuk mendedahkan (pecahan kes) mengikut negeri, kerana kita kes di hospital mengumumkan kepada awam setiap hari.
‘Saya rasa biar kami sebelum itu membuat analisa sebelum boleh mendedahkannya dan dengan kes kluster terbaharu yang diperolehi sekarang kami akan menyiasat dan mengumumkan hasilnya,” tegasnya.-MalaysiaGazette