KUALA LUMPUR – Segala aktiviti berkumpul beramai-ramai atau sebarang bentuk perhimpunan melibatkan pegawai dan anggota polis di ibu negara telah dikurangkan sebagai langkah pencegahan awal jangkitan koronavirus atau Covid-19.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ia termasuklah aktiviti senamrobik yang diadakan setiap minggu di IPK turut dibatalkan bagi menjaga tahap perlindungan diri polis daripada terdedah risiko jangkitan.
Katanya, selain menyembur cecair pembasmi kuman di premis dan lif-lif serta kemudahan lain yang digunakan pegawai dan anggotanya setiap hari, semua yang berada di lapangan bersama orang awam dinasihati dan diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut serta membawa cecair sanitizer bersama.
“Ia penting bagi melindungi diri masing-masing daripada risiko jangkitan Covid-19 semasa bertugas di lapangan setiap masa,” katanya dalam sidang media khas di sini.
Ditanya mengenai operasi jenayah dan narkotik yang sedang dilaksanakan pasukannya, Mazlan berkata, pihaknya tidak berdepan masalah dan operasi itu akan diteruskan.
“Ia berterusan (operasi jenayah dan narkotik) tapi langkah penggunaan mask dan cecair pembasmi kuman untuk tangan diwajibkan kepada semua anggota. Mereka sudah dimaklumkan supaya jangan mudah mendedahkan diri dengan jangkitan.
“Kami akan utamakan perlindungan diri dan tempat bertugas sentiasa selamat untuk anggota kami, di samping tidak menjejaskan rutin tugas harian untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” tegas beliau.-MalaysiaGazette