ROM – Selepas penyerang Sampdoria, Manolo Gabbiadini dijangkiti wabak Covid-19, empat lagi pemain kelab Seria A itu turut disahkan positif selepas menjalani pemeriksaan perubatan semalam.
Laporan kelab mendedahkan, empat pemain berkenaan adalah Morten Thorsby dari Norway, Albin Ekdal (Sweden), Omar Colley (Gambia) dan Antonino La Gumina (Itali).
Selain itu, doktor pasukan, Amadeo Baldari turut disahkan positif.
Namun pihak kelab menjelaskan semua yang terlibat dalam keadaan stabil buat masa ini.
“Keadaan kesihatan mereka semua baik dan semuanya sedang berehat di rumah masing-masing di Genoa.
“Sekali lagi Sampdoria tegaskan, pihak kami sudah pun bertindak mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Semua premis kelab telah ditutup sepenuhnya. Pemain, pegawai dan semua pekerja yang berisiko dijangkiti telah diarahkan untuk dikuarantin di rumah masing-masing buat masa ini.
“Segalanya akan baik-baik sahaja. Kita harungi krisis ini besama,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Thorsby, Ekdal dan Colley merupakan pemain utama yang kerap diturunkan pada musim ini sementara La Gumina telah membuat satu penampilan.
Perlawanan terakhir Sampdoria adalah pada Ahad lalu berdepan Hellas Verona yang juga telah mengarahkan semua pemainnya diasingkan.
Serie A telah digantung sekurang-kurangnya sehingga 3 April depan selepas Kerajaan Itali mengarahkan semua acara sukan dihentikan kerana negara tersebut merupakan negara Eropah paling teruk terkesan dengan virus berkenaan. – MalaysiaGazette