Bekalan penutup hidung dan mulut yang terhad menimbulkan kegusaran orang ramai.

KUALA TERENGGANU – Masalah kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman berikutan penularan jangkitan COVID-19 akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata ia bagi memastikan masalah kekurangan kedua-dua barangan itu, yang menjadi keresahan rakyat, akan dapat diatasi.

“Menteri (Datuk Alexander Nanta Linggi) pun ada menyatakan bahawa kerajaan bersedia untuk tidak mengeksport apa yang ada (penutup mulut dan hidung) ke luar negara jadi ia sikit sebanyak akan memastikan barangan itu mencukupi di negara kita,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja ke Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu di sini, hari ini.

Rosol turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang sengaja menyembunyikan stok penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman dengan tujuan menaikkan harga jualan.

“Setakat ini tiada laporan (menyembunyikan stok penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman). Kalau ada kita akan pastikan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang mengambil kesempatan atas masalah ini,” katanya.

Artikel berkaitan: Covid-19: Henti eksport topeng muka, semak semula harga siling

Selain itu, Rosol menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembelian barangan keperluan termasuk penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman secara panik susulan penularan pelbagai dakwaan berkenaan situasi COVID-19 di negara ini, bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Di ARAU, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Perlis Azizan Sulaiman mengingatkan peniaga di negeri itu supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan, penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman sesuka hati bagi mengaut keuntungan lebih ketika penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata, pihaknya bersama KPDNHEP negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tamak.

“Saya ada menerima beberapa aduan daripada pengguna berkaitan kenaikan harga barang dan kami akan siasat perkara ini… saya minta agar peniaga tidak terlampau mementingkan diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast