MADRID – Sepanyol telah meletakkan 47 juta penduduknya di bawah sekatan atau isolasi di dalam rumah bermula semalam.
Kerajaan Sepanyol mengesahkan tindakan itu dan memaklumkan ia sebahagian daripada langkah darurat selama 15 hari untuk memerangi pandemik Covid-19 di negara tersebut.
Kerajaan itu mula bimbang selepas muncul negara kedua selepas Itali di Eropah paling ramai terjejas akibat pandemik gelombang kedua itu.
Rentetan itu, semua warga Sepanyol diwajibkan duduk di rumah dan dihadkan pergerakan kecuali membeli makanan, ubat, bekerja atau ke hospital untuk tujuan kecemasan.
Bar, restoran, mana mana kedai barangan kecuali makanan wajib ditutup dan ia termasuk untuk kedai peralatan sukan selain pawagam, kolam renang dan padang bola sepak.
Perdana Menteri, Pedro Sanchez dalam perutusan khas Covid-19 secara langsung kepada rakyatnya berharap keadaan akan kembali normal setelah wabak itu diperangi habis-habisan nanti.
“Sehingga waktu itu tiba, marilah kita tanpa membuang masa dan tenaga kita menjaga kesihatan dan keselamatan dengan duduk di rumah,” kata beliau.
Tidak beberapa lama selepas pengumuman itu, isteri beliau Begona Gomez pula disahkan positif Covid-19.
Setakat ini, Sepanyol merekodkan 193 kematian Covid-19 dan 6,250 kes keseluruhannya.
Malahan sekolah juga ditutup di Sepanyol dan pakej rangsangan ekonomi fasa pertama telah diumumkan Khamis lalu.
Kerajaan Sepanyol dijangka mengumumkan langkah seterusnya untuk merangsang sosioekonomi yang terjejas akibat pandemik itu.- MalaysiaGazette