KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihati jangan membuat pembelian panik kerana kebimbangan itu hanya memberi peluang kepada para peniaga menaikkan harga semua barangan, nasihat Datuk Seri Najib Razak.
”Kita perlu kekal tenang. Dan hanya beli mengikut kadar yang kita perlukan seperti hari-hari lain. Membeli berlebihan akan memberi kesulitan kepada keluarga-keluarga lain,” katanya.
Menurut beliau, orang ramai perlu yakin dengan para petugas kesihatan di barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani wabak Covid-19 itu.
Beliau menasihatkan orang ramai agar mengikut panduan dan nasihat petugas kesihatan secara berterusan dan usah mudah terpedaya dengan sebaran sebaran palsu yang tidak sahih kerana akan meningkatkan panik.
”Tidak pasti akan kesahihan sesuatu maklumat, usah sebarkan. Apatah lagi menokok tambah.
”Teruskan langkah berjaga-jaga seperti menggunakan topeng muka, kerap membasuh tangan dengan cara yang betul, menjaga kesihatan peribadi masing-masing supaya tubuh kita kuat untuk melawan virus dan tidak berkunjung ke luar negara jika tidak ada keperluan sangat mendesak.
”Itu paling penting dan perlu dipatuhi sambil berusaha itu, kita berdoa kepada Tuhan agar kita semua dilindungi dari sebarang wabak dan penyakit dan mendoakan petugas kesihatan sentiasa diberi pelindungan,” ujarnya.
Hari ini rata-rata penduduk termasuk warga kota kelihatan memenuhi pusat beli-belah bagi mendapatkan stok makanan dan keperluan sehingga ada barangan yang sudah habis di rak-rak pasar raya.- MalaysiaGazette