KUALA LUMPUR- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyarankan supaya kerajaan melarang pembelian makanan dan barangan keperluan secara berlebihan.
Sejak hujung minggu lalu, pasaraya, pasar dan kedai runcit diserbu orang ramai yang membeli stok makanan dan keperluan rumah secara melampau.
Ini berlaku selepas tersebarnya mesej yang mengatakan Malaysia akan melaksanakan perintah berkurung akibat penularan wabak Covid-19.
Ini sekali gus menyebabkan kebanyakan pasaraya, pasar dan kedai runcit kehabisan bekalan.
Bagaimanapun, dalam satu perutusan khas Perdana Menteri malam tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang melibatkan enam sekatan sahaja termasuk penutupan premis perniagaan.
Namun begitu, premis yang menjual barangan makanan, keperluan rumah, kesihatan, bank dan sebagainya tetap dibenarkan beroperasi bagi mengelakkan orang ramai berhadapan kesukaran sepanjang tempoh Perintah dilaksanakan iaitu bermula esok sehingga 31 Mac ini.
“Beberapa cadangan kepada Perdana Menteri dan menteri-menteri kita dalam kabinet:
“Tidak benarkan pembelian makanan dan barangan rumah yang berkelebihan. Siapa yang buat boleh didakwa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga meminta kerajaan supaya membenarkan pengusaha restoran terus beroperasi tanpa pelanggan di premis sebaliknya menggunakan servis penghantaran makanan seperti Food Panda atau Grab Food.
Kerajaan juga katanya, perlu menggalakkan perniagaan dalam talian kerana ia tidak mempunyai sebarang kontak fizikal.
Abdul Rahman juga mencadangkan supaya semua semua material atau produk dari China yang tersadai di gudang di pelabuhan Malaysia dibenarkan untuk dilepaskan tanpa kuarantin yang terlalu panjang.
Pertubuhan Kesihatan Dunia katanya, berpandangan jangkitan virus melalui hantaran package atau hantaran barangan sangat rendah.
Ini membolehkan kilang di Malaysia masih boleh beroperasi.- MalaysiaGazette