KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah supaya semua rakyat negeri itu bertenang dan tidak cemas susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Baginda turut menasihati seluruh rakyat agar berganding bahu mengawal penularan penyakit itu dengan mematuhi arahan dan saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semua yang bergejala Covid-19 harus segera ke klinik kesihatan terdekat untuk menjalani pemeriksaan, di samping mengelakkan diri daripada menghadiri tempat sesak dan berisiko seperti hospital dan acara berskala besar.

“Sempena cuti sekolah ini, saya berharap luangkan lebih masa di rumah serta mengamalkan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dan jika batuk, amalkan etika yang betul,” titah Sultan Ibrahim menerusi laman rasmi Facebook baginda.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan sepenuh kepercayaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Johor (JKNJ) serta semua pihak yang sentiasa bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab dan usaha pencegahan, pengesanan serta rawatan, selain berkorban masa dan tenaga serta bersikap profesional dalam menangani situasi Covid-19.

Baginda bertitah, tindakan menyebarkan berita tidak sahih hanya akan menimbulkan situasi panik dan menyukarkan petugas kesihatan menjalankan tugas.

Selain itu, baginda mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih dan merujuk sumber utama, iaitu KKM atau JKNJ sahaja.

“Di sini, saya juga mengambil kesempatan berharap semua yang menghadiri Jord Qudama dan Ulama Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling, baru-baru ini, supaya hadir ke klinik kesihatan terdekat sekiranya terdapat gejala demam, batuk serta selsema.

“Jangan mengambil ringan isu ini kerana anda berisiko menularkan penyakit kepada keluarga dan orang ramai.

“Saya sentiasa berdoa agar situasi COVID-19 ini akan berakhir dengan segera. Insya-Allah,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast