SERI KEMBANGAN – Kedai-kedai makan di sekitar ibu negara didapati mematuhi arahan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan dengan penuh tanggungjawab.
Perintah itu dikuatkuasakan tengah malam tadi bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 yang semakin mengganas.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar beberapa kawasan tumpuan pusat Perniagaan South City Plaza, Bukit Serdang dan Pekan Seri Kembangan pagi ini mendapati kebanyakan kedai tidak menghidangkan makanan kepada para pelanggan.
Tiada kerusi dan meja diletakkan di luar premis. Ada pula kedai yang melipatkan meja dan kerusi.
Ia selari dengan arahan kerajaan yang hanya membenarkan pelanggan membungkus makanan sahaja sepanjang perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.
Sebuah kedai nasi kandar mendakwa ada satu keluarga yang datang untuk meminta menghidangkan makanan tetapi mereka kemudian dimaklumkan tentang arahan tersebut.
”Mungkin mereka lupa dengan perintah kawalan pergerakan itu. Tetapi mereka akur,” kata pekerja kedai tersebut.
Restoran nasi kandar popular itu berkata, kedainya akan menyediakan makanan bungkus dan pembelian dalam talian sahaja.
Pembantu kedai itu berkata, mereka akan akur dan mematuhi peraturan itu demi kebaikan bersama.
Manakala sebuah kedai makan Cina di Seri Kembangan juga memaklumkan premis itu turut menyediakan makanan bungkusan sahaja.
“Kita pun tak mahu koronavirus berjangkit , kita mesti ikut arahan kerajaan sekarang..senanglah jaga keselamatan kita..bukan susah pun membungkus makanan sahaja.
“Saya sudah cakap sama pelanggan tak boleh makan sini , boleh tapau balik sahaja.
”Pelanggan pun tak ada masalah, semua takut dengan virus itu, kata Chong sambil sibuk melayan pelanggannya yang beratur. – MalaysiaGazette