Pengunjung selepas membeli barangan keperluan pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Selalunya riuh sekali, hari ini kosong dan senyap.

Itu luahan pemilik gerai makan Wan Chopati, Hasbulah Shamim Ahmad menggambarkan keadaan premisnya yang sudah beroperasi sejak tahun 1986 di Pasar Datuk Keramat menjadi lengang apabila bermula Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini.

Menurutnya, ini merupakan kali pertama beliau menyaksikan bagaimana satu perintah telah dikeluarkan berikutan pandemik Covid-19 dan masyarakat umum mematuhinya.

“Ini adalah satu keperluan terdesak pada masa ini, jika tidak bagaimana kita hendak bendung nanti?

“Sebenarnya saya kasihan juga kerana pagi-pagi seperti ini tempat ini selalunya sesak, meja-meja ini sudah penuh dengan masyarakat setempat makan sarapan sambil bercerita sakan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Peniaga makanan, Hasbulah Shamim Ahmad. Foto FAREEZ FADZIL, 18 MAC 2020.

“Tapi kita tidak boleh persoal kerajaan malah sepatutnya berterima kasih dengan kerajaan kerana beri kita sedikit kelonggaran masih membenarkan kita berniaga dan pelanggan masih boleh membungkus balik makanan mereka. Kita turut perintah sahaja,” katanya.

Sementara itu, Bagi Mohd. Airil yang sudah berniaga sejak 10 tahun lepas pula merasakan perintah kawalan itu sebenarnya tidak begitu menjejaskan perniagaannya setakat hari ini namun masih terlalu awal untuk merumuskannya.

“Masih boleh berniaga macam biasa, kita bungkus nasi dan kuey teow goreng untuk pelanggan kita, mereka datang ambil. Masih biasa seperti sebelum ini, mungkin juga kerana hari pertama dan juga ramai cuti ada kelapangan.

“Tapi saya harap ianya tidak terlalu lama perintah ini, takut ketika puasa nanti kita lebih terjejas teruk, itu lebih merisaukan saya,” ujarnya.

Peniaga makanan, Mohd Airil menjual makanan pagi pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 MAC 2020

Untuk Mohd. Sabri Supari yang telah berniaga ayam di pasar basah Datuk Keramat sejak 40 tahun lalu merasakan rakyat negara ini masih bertuah kerana masih dibenarkan keluar bagi membeli barangan.

“Buat masa ini, kira okay lagi tapi risau jugalah jika penyakit Covid-19 ini makin serius, tidak tahu apa lagi tindakan drastik dari kerajaan kelak. Tapi apa-apa kita akan turuti kerana ini melibakan kepentingan semua, nyawa dan negara.

“Setakat ini niaga macam biasa, pelanggan masih sama,” jelasnya.

Peniaga ayam, Mohd Sabri Supari Foto FAREEZ FADZIL, 18 MAC 2020.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nasri Wahab pula masih belum nampak perkara yang membimbangkannya memandangkan perintah itu baharu sahaja dikuatkuasakan.

“Saya rasa perintah ini ada beri kita kebebasan dan kelonggaran, saya juga tidaklah sehingga panik dan membeli dengan jumlah banyak. Macam biasa sahaja cuma saya juga amalkan langkah-langkah keselamatan bagi tujuan diri sendiri dan orang sekeliling,” katanya.

Nasri Wahab.Foto FAREEZ FADZIL, 18 MAC 2020.

Bagi Kheruddin Yusop pula, fenomena yang berlaku nampak ‘luar biasa’ baginya kerana penyakit Covid-19 ini juga masih ‘baharu’ bagi pemahamaan umum secara keseluruhan.

“Kita faham ianya tiada ubat, memang bahaya dan mendatangkan maut. Baguslah kerajaan ambil langkah proaktif tapi masih baru lagi untuk kita nilai apa-apa,” ujarnya.

Kheruddin Yusop . Foto FAREEZ FADZIL, 18 MAC 2020.

Bagaimanapun, tinjauan dibuat hari ini mendapati walaupun ramai yang akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini tetapi masih ada segelintir yang masih tidak mematuhinya.

Tinjauan MalaysiaGazette seawal 7 pagi di sekitar Pasar Datuk Keramat masih mendapati ada pelanggan menikmati sarapan pagi seperti biasa walaupun tidak seramai seperti sebelum ini.

Bezanya, jalan agak lengang kerana kesesakan kerana kenderaan warga kota keluar bekerja tidak banyak selain musim cuti persekolahan.

Orang ramai  didapati ‘memanfaatkan’ arahan tidak bekerja selama dua minggu memenuhi gerai bagi membeli makanan pilihan seperti nasi lemak, roti canai, putu mayam serta barangan keperluan lain di pasar.

Namun rata-rata mereka sebenarnya masih keliru dengan arahan pihak berkuasa dan ada juga segelintir mereka tidak mengambil serius tentang Perintah Kawalan Pergerakan.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.