KUALA LUMPUR – Meskipun perubahan drastik yang berlaku apabila bermula Perintah Kawalan Pergerakan hari ini namun menjadi kewajipan kepada rakyat Malaysia membiasakannya khususnya mengurangkan aktiviti di luar demi membendung pandemik Covid-19.
Demikian pendapat pekerja swasta, Amir Zulkifli, 30, yang mengakui larangan makan di kedai merupakan suatu yang pelik kerana sebelum ini semua orang bebas makan di mana-mana premis makanan.
Namun katanya, salah sebuah rangkaian restoran mamak yang beroperasi 24 jam dan menjadi tumpuan ramai di ibu kota hari ini hanya dikunjungi sedikit sahaja pelanggan.
“Agak pelik juga apabila kita nampak Kuala Lumpur tiba-tiba lengang, kedai makan pun tidak boleh makan, tadi saya baru balik dari hospital keadaan di sana pun lengang.
“Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan ini memang rasa pelik tetapi harapnya kita semua terbiasa dengan keadaan begini untuk tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Bagi seorang jurugegas, Farouk Yakatily, 46, juga mengakui larangan makan di kedai agak menyusahkan dirinya namun ada kebaikan di sebaliknya termasuk memaksa orang ramai memasak di rumah dengan juadah yang sihat dan bersih.
“Susah juga begini tetapi apa nak buat, kita kena ikutlahsebab ini isu kesihatan tetapi kalau ikutkan bagus untuk sesetengah orang, makan di rumah memanglah lagi bagus, makanan sihat,” katanya.
Hari ini hari pertama berkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan sebagai langkah membendung pandemik Covid-19 yang semakin menular dalam negara.
Menerusi larangan itu, rakyat umumnya dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan sebaiknya digalakkan untuk berada di rumah masing-masing kecuali kerja, urusan penting dan kecemasan.
Restoran seluruh Malaysia dalam tempoh dua minggu ini masih kekal beroperasi namun tidak dibenarkan untuk membenarkan pelanggan makan di premis perniagaan.
Sementara itu, Azhar Renan, 40, pula tidak dapat menyembunyikan perasaannya dan mengaku cemas dengan perubahan ketara apabila bermulanya perintah yang sama.
“Saya bercuti dari Kuantan datang ke sini ke rumah saudara, nak jalan-jalan tetapi sudah jadi begini (Perintah Kawalan Pergerakan Makanan) jadi tidak boleh ke mana-manalah kan? Makan pun bungkus, kalau tidak saya nak cuba buat pertama kali makan di sini.
“Macam teruk pun ada keadaan kita ini sebab sampai tahap tidak boleh makan di kedai, itu pada sayalah. Saya memang bimbang dengan keadaan begini,” jelas kakitangan swasta itu.
Bagi Haikal Kimi Syahruddin, 28, pula, Perintah Kawalan Pergerakan yang akan berakhir 31 Mac itu diharap berjalan secara aman dan mendapat kerjasama baik daripada rakyat keseluruhannya.
Haikal berkata, tidak sepatutnya ada pihak yang mengingkari arahan kerajaan.
Menyambut baik tindakan itu kakitangan swasta itu juga kesal terhadap sebilangan masyarakat menyalahgunakan Perintah Kawalan Pergerakan untuk pulang ke kampung masing-masing.
“Bagus juga buat begini (Perintah Kawalan Pergerakan) tapi jangan ada yang ingkarlah. Arahan kerajaan kalau kita ikut memang bagus, cuma ada segelintir yang balik kampung pula. Semoga selepas ini keadaan negara semakin pulih dari Covid-19,” ujarnya.-MalaysiaGazette