KUALA LUMPUR – Seorang pekerja didakwa ‘terpaksa’ bekerja di kaunter kasut di Mydin Mall Selayang dan mengakui dalam keadaan ketakutan apabila melayan pelanggan walaupun berdepan dengan risiko wabak Covid-19 ketika ini.
Walaupun dirinya maklum dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung pandemik merbahaya itu daripada terus berjangkit sejak dua hari lepas namun tidak berdaya melawan arahan majikan.
“Saya hanya mahu pulang. Saya datang kerja kerana arahan majikan tapi saya tidak dapat elak kerana kesempitan hidup.
“Saya terpaksa datang kerja walaupun hanya barang-barang asas sahaja perlu ada di sini,” kata M. Chinnama kepada MalaysiaGazette ketika ditemui operasi polis di sekitar kawasan Selayang hari ini.
Chinnama bekerja sebagai promoter dengan syarikat kasut dalam Mydin Mall Selayang.
Katanya,ma lagi, dirinya ada memberitahu majikan untuk tidak mahu bekerja dalam tempoh perintah itu namun masih diminta bekerja.
“Saya tidak boleh buat apa-apa. Saya kena kerja atau langgar arahan dan hilang kerja,” ujarnya dengan mata hampir bergenang.
Wanita itu yang tinggal di Batu Caves bagaimanapun bukan dalam kalangan pekerja Mydin sebaliknya dihantar dari syarikat pembekal kasut.
Dalam Perintah Kawalan Pergerakan sudah termaktub arahan kedai-kedai premis perniagaan serta kilang yang tidak berkaitan dengan barangan asas seperti makanan perlulah di tutup sehingga 31 Mac ini.
Namun kelibat mereka masih lagi boleh dilihat di sesetengah tempat termasuk pasar raya.
MalaysiaGazette juga tidak henti-henti dihujani dengan panggilan daripada pembaca dan pelayar yang membuat aduan tentang perkara sama sejak dua hari ini termasuk sikap majikan memaksa kakitangnnya hadir bekerja. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: