Pelajar kelihatan termenung pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di ASWARA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja penuntut Pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang berasal dari Sabah dan Sarawak memilih untuk tidak balik ke kampung halaman masing-masing, malah anak jati Selangor juga membuat keputusan yang sama meskipun masa perjalanan dari rumah keluarganya dengan akademi itu tidak lebih satu jam.

Penuntut Fakulti Muzik, Osama Yamani Jamal Abdillah berkata, peluang untuk terdedah dengan wabak Covid-19 lebih tinggi sekiranya beliau memilih untuk balik ke pangkuan keluarga.

Justeru Yamani yang merupakan anak penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah berusia 19 tahun itu menganggap keputusannya untuk tinggal di asrama selama dua minggu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan secara tidak langsung dapat menyelamatkan diridan keluarganya selain membantu kerajaan memastikan wabak tersebut tidak menular.

Pelajar dari Selangor, Osama Yamani Jamal Abdillah bercakap kepada Malaysia Gazette pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Pejabat ASWARA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 MAC 2020

“Saya memang buat keputusan untuk tinggal di sini, biarlah di sini dalam tempoh dua minggu ini, sebab di rumah nanti takut terdedah juga kalau mahu balik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Buat penuntut yang berasal dari Sabah dan Sarawak sudah tentu kebenaran dari pihak Asrawa untuk membenarkan mereka tinggal asrama merupakan satu rahmat.

Anak kelahiran bumi kenyalang, Rian Dekstor anak Edward, 19, yang juga merupakan penuntut Fakulti Muzik berkata, ibu dan bapanya tidak mampu membeli tiket penerbangan dalam tempoh yang singkat.

“Kami jauh, nak minta beli tiket sekarang tengah bulan, takut nanti disekat balik, jadi mereka nasihatkan saya tinggal di asrama.

Pelajar dari Sarawak, Rian Dekstor Edward bercakap kepada Malaysia Gazette pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Pejabat ASWARA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 MAC 2020

“Kalau balik kampung pun selepas di sana perlu dikuarantin kalau terdedah macam-macam, jadi lebih baik tinggal saja di asrama,” katanya.

Begitu juga dengan Cladia Michele Primus, anak kelahiran Sabah yang dinasihatkan oleh ibu bapanya untuk tinggal di asrama memandangkan premis itu dilihat lebih selamat berbanding penuntut Fakulti Tari itu balik ke rumah.

Pelajar dari Sabah, Cladia Michele Primus bercakap kepada Malaysia Gazette pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Pejabat ASWARA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 MAC 2020

Meskipun terperuk di bangunan konkrit untuk tempoh dua minggu, Cladia memberitahu, mereka diberi peluang untuk membuat pelbagai aktiviti ‘indoor’ seperti bermain ping pong dan dart.

“Kami di sini baik-baik saja. Lebih dari cukup makanan yang diberikan di sini. Kami bermain ping pong, main dart, macam-macam aktiviti boleh. Karaoke dengan rakan dalam bilik,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast