Persoalan apa yang akan dilakukan terhadap satu lagi golongan berisiko tinggi terdedah kepada pandemik Covid-19 iaitu kumpulan gelandangan akhirnya terjawab.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Persoalan apa yang akan dilakukan terhadap satu lagi golongan berisiko tinggi terdedah kepada pandemik Covid-19 iaitu kumpulan gelandangan akhirnya terjawab.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah membuat persiapan untuk menempatkan sekurang-kurangnya 500 gelandangan sekitar ibu kota di satu tempat khas dalam masa terdekat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pihaknya juga akan mengadakan ujian saringan kepada gelandangan itu bagi memastikan mereka bebas daripada wabak Covid-19.

“Kita telah bermesyuarat dengan MKN baru-baru ini, pastinya golongan gelandangan ini juga sebahagian daripada masyarakat serta komuniti di negara, pastinya kita akan fokus juga dengan kumpulan ini.

“Pada masa ini, kita sudah mengenalpasti tempat untuk mereka duduk sementara waktu sebagai salah satu cara mmebendung wabak ini, kita juga akan melakukan saringan kepada yang perlu pada masa sama.

“Kita akan umumkan kelak mana tempat yang kita kenal pasti itu nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media berkaitan Covid-19 di KKM tadi.

Kata Noor Hisham lagi, pihaknya juga sedang bekerjasama rapat dengan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pencari suaka dalam aktiviti pencegahan oleh kerajaan.

Jelas beliau, ianya juga untuk tujuan mengekang sebarang penularan jangkitan yang berpotensi berlaku di dalam masyarakat.

Sementara itu, Noor Hisham juga mendedahkan pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 500 buah alat bantuan pernafasan atau ventilator perlu dikhususkan untuk kes Covid-19.

Kata beliau, keperluan itu adalah persediaan sekiranya ada pertambahan kes kelak.

“500 ventilator itu perlu disediakan di 26 hospital khas bagi kes Covid-19 di seluruh negara. Mungkin kes akan bertambah jadi kita perlu bersedia dengan peralatan ini. Ketika ini kita ada 925 buah ventilator.

“Kita masih berurusan dengan negara China untuk dapatkan ventilator tersebut,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast