KUALA LUMPUR – Pembelian panik kali kedua di pasar raya berlaku kembali berikutan ramai bimbang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan akan disertai oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai esok.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George berkata, perkara itu sungguh mendukacitakan kerana pembelian panik oleh pengguna tidak bertanggungjawab menyusahkan pengguna lain.
Berikutan itu, beliau mencadangkan semua pasar raya di seluruh negara mengenakan kuota untuk barangan yang dibeli bagi memastikan pengguna lain turut boleh mendapatkan keperluan masing-masing.
“Saya sedih kerana pengguna-pengguna Malaysia tidak mengambil nasihat kerajaan dengan betul hingga berlaku gelombang kedua pembelian panik.
“Mereka keluar dengan menghuru-harakan pasar raya, beli berpuluh-puluh bungkus tisu tandas dan membeli barangan lain secara pukal, langsung tidak menunjukkan rasa tanggungjawab kepada orang lain.
”Sikap pengguna-pengguna ini seperti barbarian, hilang sikap sopan-santun seolah-olah tidak pernah mendapat makanan berbulan-bulan. Sungguh memalukan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sedangkan, kata Jacob, belum pernah Malaysia mengalami kekurangan makanan, lantas sikap pengguna yang melakukan pembelian panik tidak boleh diterima.
Tetapi jika sikap pembelian panik ini tidak ditangani, tidak mustahil masalah bekalan akan berlaku kelak.
“Oleh itu, pasar raya perlu mengeluarkan kuota sebagai memberi peringatan kepada pembeli-pembeli supaya tidak melakukan pembelian panik, jika tidak perkara ini akan berulang lagi,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pasar-pasar raya agar memastikan rak-rak barangan dipenuhkan bagi memudahkan orang ramai mengambil dan membuat urusan pembayaran dengan cepat.
Selain itu, Jacob turut mahu pemilik-pemilik pasar raya tidak mengambil kesempatan dengan menjual barangan barangan yang tidak berkualiti susulan kebimbangan orang ramai untuk membeli barangan keperluan ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini.
“Saya harap pemilik pasar raya bertanggungjawab dan jangan ambil kesempatan dalam hal ini. Sehubungan itu, saya meminta penguatkuasa-penguatkuasa memantau,” ujar beliau. – MalaysiaGazette