ZAGREB, Croatia – Gegaran kuat yang melanda ibu negara Croatia, Zagreb hari ini meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia 15 tahun, kata para pegawai kesihatan.
“Sebuah ambulan dihantar ke lapangan dan mendapati seorang kanak-kanak tidak bernyawa dalam runtuhan sebuah bangunan, kata Ketua Institut Perubatan Kecemasan Zagreb, Zarko Rasic.
Gempa bumi berukuran 5.3 skala Richter melanda Zagreb utara, kata Pusat Penyelidikan German (GFZ) untuk Geosains, dengan bangunan mengalami kerosakan, orang ramai bergegas keluar bangunan ke jalan raya, kenderaan tertimbus dalam runtuhan selain beberapa insiden kebakaran.
GFZ berkata, pusat gempa bumi itu berada pada kedalaman 10 kilometer dan magnitudnya dikurangkan daripada kekuatan asal sebanyak 6.0, lapor Reuters.
“Ia berakhir dalam tempoh 10 saat. Ia lebih kuat daripada saya pernah rasai,” kata seorang saksi sambil menambah gempa bumi itu disusuli beberapa gegaran.
Menteri Dalam Negeri Croatia, Davor Bozinovic menerusi akaun Twitter merayu orang ramai untuk melakukan penjarakan bagi membendung penularan koronavirus.
Setakat ini, negara tersebut merekodkan 206 kes koronavirus dengan satu kematian.
Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa bumi itu berukuran 5.4, manakala Pusat Seismologi Mediterranean Eropah melaporkan gegaran berukuran 5.3 diikuti satu lagi gempa bumi berukuran 5.1. – Agensi