Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor diingatkan tidak bermain politik dengan menganaktirikan kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pembangkang ketika negara sedang bergelut menangani wabak Covid-19.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan, sepatutnya Kerajaan Negeri Selangor membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik dan mengotakan janji yang dibuat ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor, Jumaat lalu.

“Di saat negara kita berusaha keras menangani wabak penyakit Covid-19 ini. Kerajaan Negeri Selangor masih bermain politik sempit yang tidak merentasi aspirasi rakyat untuk membantu sedaya upaya tanpa mengira fahaman politik.

“Perkara ini jelas menunjukkan sikap tidak adil Menteri Besar, Amirudin Shari sedangkan dalam ucapan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor telah menyatakan sejumlah RM30,000 akan diberi kepada seluruh 56 kawasan DUN

“Jangan politikkan bantuan ketika negara sedang berusaha untuk membendung wabak pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas surat rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang bertarikh 23 Mac 2020 berhubung penyaluran peruntukan pembangunan Program Mesra Rakyat bagi ADUN ke Pusat Khidmat Masyarakat berjumlah RM30,000.

Menurut surat pekeliling yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), Dr Nor Fuad Abdul Hamid, setelah perbincangan dengan Menteri Besar dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 22 Mac lalu memutuskan peruntukan itu hanya diberikan kepada ADUN Kerajaan sahaja.

Surat itu turut menyatakan peruntukan RM30,000 itu disalurkan terus ke akaun Pusat Khidmat Masyarakat semua ADUN Selangor kecuali sembilan wakil pembangkang.

Antara sembilan ADUN pembangkang yang dikecualikan daripada menerima peruntukan itu ialah Rizam Ismail (Sungai Air Tawar), Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang), Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam) dan Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong).

Turut dikecualikan ialah Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Zakaria Hanafi (Semenyih), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.