Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis dan tentera diminta mengawal bank dan mesin ATM ketika kakitangan awam dan swasta mula menerima pembayaran gaji masing-masing beberapa hari lagi.

Ini menurut Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah untuk memastikan penjarakan sosial dapat dilaksanakan ketika berlakunya peningkatan orang ramai menggunakan perkhidmatan perbankan tersebut.

“Kita jangkakan berlaku kesesakan di bank-bank dan mesin-mesin ATM semasa hari gaji.

“Jadi, kita seru supaya orang ramai tidak berpusu-pusu di bank atau mesin ATM.

“Selain polis dan tentera, kita juga akan meminta polis bantuan atau pengawal keselamatan di bank berkenaan untuk sama-sama memastikan penjarakkan sosial diamalkan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pihak bank pula diminta untuk menentukan jumlah pelanggan yang boleh berada di dalam premis berkenaan pada satu-satu masa.

Menyentuh mengenai pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah memasuki hari ketujuh, Ismail katanya, terdapat peningkatan yang mana 95 peratus rakyat telah patuh kepada arahan tersebut berbanding 92 peratus sebelum ini.

Ini sekali gus membuktikan keberkesanan operasi bersama yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, RELA dan pihak berkuasa tempatan di dalam mengawal pergeralan orang awam sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau sekali lagi mengulangi nasihat supaya orang ramai tidak meninggalkan kawasan masing-masing termasuklah warga kota yang kini berada di kampung.

“Kadar pematuhan di bandar-bandar besar sudah nampak ketara tetapi kita lihat ada trend orang bandar yang sebelum ini balik ke kampung sudah mula mahu pulang semula ke kota, sama ada untuk bekerja atau sebagainya.

“Saya nasihatkan usah diteruskan perjalanan tersebut kerana anda tidak akan dibenarkan oleh pihak polis.

“Teruslah tinggal di kampung,” katanya lagi.

Menurut Ismail Sabri, polis telah menjalankan sekatan jalan raya di 23 buah tol bagi mengawal pergerakan orang ramai.

Semalam, sejumlah 1029 sekatan jalan raya; 163,687 pemeriksaan kenderaan; 2,481 pemeriksaan mengejut dan 1719 hebahan telah dilakukan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast