Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Inspektor Mohamed Farid Khairuddin bercakap kepada media pada Opc Covid-19 di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDM) di lapangan terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga dan meletakkan diri dalam risiko demi menyelamatkan nyawa rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19.

Bagi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Sentul, Inspektor Mohamed Farid Khairuddin, tugasnya siang dan malam tanpa tentu masa terpaksa dipikul demi amanah.

“Masih ramai lagi yang mempertikaikan tindakan kami membuat sekatan dan menasihati orang ramai tidka keluar rumah sedangkan kami nak selamatkan mereka daripada menjadi mangsa Covid-19.

“Mereka tidak faham kami merisikokan diri bertugas tanpa rehat siang malam mengikut syif seperti yang dijadualkan tetapi ada orang mengakui kelekaan mereka dan minta maaf kepada kami dan mematuhi nasihat polis,” katanya.

Beliau ditemui semasa mengiringi lawatan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim meninjau operasi di Pasar Borong Selayang hari ini.

Menurutnya, selepas habis bertugas, beliau terpaksa menjarakkan diri daripada ahli keluarga bagi mengelak risiko jangkitan virus kepada orang kesayangannya.

Menurut Mohamed Farid, beliau terlebih dahulu akan membersihkan diri dengan cecair pembasmi kuman di tangan dan sebagainya sebelum masuk ke rumah.

“Kadang-kadang saya memilih mandi di pejabat dan bertukar pakaian sebelum ke rumah mengelak risiko jangkitan. Pakaian uniform kami masukkan dalam beg plastik demi kesihatan dan keselamatan ahli keluarga,” ujarnya.

Walaupun penat dan sedih dengan keadaan sekarang kerana terpaksa mengurangkan pergaulan dengan ahli keluarga, beliau sering memujuk diri ia demi kebaikan negara dalam membendung Covid-19.

“Memang cabaran besar menjarakkan diri dari setiap kenalan saya dan cabaran di luar adalah memastikan orang awam mematuhi penguatkuasaan kerajaan. Walaupun ada yang berdegil keluar dengan alasan remeh dan ada yang pertikaikan tindakan kami, kami terpaksa bertegas supaya mereka mengambil serius mesej kami yang hanya berniat menyelamatkan mereka.

“Tolong kerjasama, anda duduk di rumah dan jangan keluar, kami pastikan anda selamat,” tegasnya.-MalaysiaGazette