Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim bersama Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy (kiri) dan Angkatan Tentera Malaysia melihat dron quadcopter PDRM yang digunakan bagi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penularan wabak Covid-19 di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Orang ramai di sekitar ibu negara khususnya di ibu kota dinasihatkan supaya bersikap jujur kepada polis ketika berdepan sekatan jalan raya Op Covid-19 dan tidak cuba menipu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, masih ramai orang awam masih berdegil tidak mendengar nasihat pihak berkuasa meminta mengehadkan pergerakan diluar untuk mengelak penularan Covid-19.

“Bagaimanapun apa yang menyedihkan masih ramai lagi memberi alasan remeh sehingga ada yang menipu polis apabila disoal tujuan mereka keluar rumah dalam sekatan jalan raya sehingga berperangai seperti Tom and Jerry.

“Ada bagi alasan dia nak pergi bayar hutang kad kredit di bank, apabila ditanya kenapa tidak boleh dibuat secara dalam talian, mereka terpinga-pinga dan panik.

“Tolonglah bersikap jujur dan jangan menipu sedangkan kami mengambil risiko mengawal dan mahu menyelamatkan anda tetapi kamu tunjukkan perangai Tom and Jerry.

“Kalau kamu tunjukkan perangai sebegitu, kami polis akan menjadi seperti Tom sahaja dan mengejar anda memastikan tindakan tegas. Harap tidak heret kami ke tahap begitu…sila duduk diam dalam rumah kecuali ada keperluan penting atau kecemasan sahaja,” tegas beliau ketika ditemui semasa lawatan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ke Pasar Borong Selayang hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, polis juga memperhebatkan pemantauan ke taman perumahan serta taman permainan untuk menghalau orang ramai yang masih degil termasuk di Pasar Borong Kuala Lumpur yang dihuni pekerja asing dan etnik Rohingya, Myanmar.

“Sejak video tular mengenai tiadanya kesedaran mengenai Perintah Kawalan Pergerakan dalam kalangan Rohingya di sini, maka kami mengambil pendekatan berbeza untuk kepentingan dan keselamatan mereka.

“Kami telah mendapatkan warga Myanmar yang fasih berbahasa Melayu dan menterjemahkan mesej hebahan penguatkuasaan PKP dan tindakan undang-undang ke dalam bahasa Myanmar.

“Kami menggunakan khidmat itu sehingga hari ini memberi hebahan bahaya Covid dan penguatkuasaan had pergerakan menggunakan bahasa Myanmar dan etnik Rohingya di sini kini memahami mesej kesihatan itu,” tegasnya.

Sementara itu, Mazlan pula memaklumkan, jumlah anggota polis akan diperbanyakkan dan diperhebatkan penguatkuasaan PKP di tiga kawasan zon merah atau panas di ibu negara.

Menurutnya, tiga kawasan zon merah yang dimaksudkan adalah Titiwangsa, Kepong dan Lembah Pantai.

“Kita akan pantau lebih kerap dan serius di kawasan Kepong, Titiwangsa dan Lembah Pantai kerana tiga kawasan panas ini masih menjadi tumpuan orang ramai.

“Kita akan fokus lebih dan akan memperbanyakkan lagi keanggoataan yang terlibat dalam sekatan jalan raya dan hebahan larangan orang awam keluar rumah kecuali untuk urusan kecemasan sahaja.

“Dalam tiga kawasan ini kami minta kerjasama orang ramai kurangkan pergerakan semaksimumnya walaupn ada yang keluar untuk keperluan penting sahaja.. kalau boleh keluar sehari sekali sudahlah..Tak perlulah pergi balik. Kita nak hadkan pergerakan,” katanya dalam sidang media di sini.

Justeru katanya, semua pegawai bawahannya atau Ketua Polis Daerah Sentul, Brickfields dan Wangsa Maju sudah dimaklumkan untuk melipatgandakan operasi dan pemantauan ketat di ketiga tiga kawasan panas itu.

“Kereta peronda masuk taman-taman perumahan dan membuat hebahan melarang orang ramai berlegar di luar sesuka hati sebaliknya kekal dalam rumah.

“Kita mahu kalau boleh hendak mencapai sasaran pematuhan sebanyak 90 hingga 95 peratus,” ujarnya.

Justeru katanya kadar jenayah di ibu negara sepanjang penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lalu telah turun sebanyak 48 peratus.

Menurutnya kes ragut paling ketara menunjukkan penurunan sepanjang tempoh ini sambil mengakui ia dipengaruhi faktor ketiadaan pelancong asing serta pengurangan pergerakan awam di tempat tumpuan pelancong di ibu negara.

Dalam pada itu, katanya secara keseluruhannya seramai 3,127 anggota dikerah PDRM turun lapangan untuk mengawal gerak geri awam sepanjang penguatkuasaan PKP sehingga 31 Mac ini bersama 420 pegawai dan anggota tentera membantu polis.

“Untuk makluman semua pihak kita adakan sekatan jalanraya sebanyak 51 lokasi penting di KL dan Putrajaya di kawasan-kawasan strategik untuk pastikan mereka tidak bergerak bebas.

“Kami minta kerjasama orang ramai untuk pastikan tidak bergerak sewenang-wenangnya bagi memastikan kerajaan berjaya dalam menghapuskan rantaian Covid-19,” tegas Mazlan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.