KUALA LUMPUR Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sambutan Hari Polis yang dibatalkan membolehkan fokus sepenuhnya diberikan kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasukan Oolis kini menggalas tanggungjawab yang lebih penting berbanding sambutan Hari Polis yang bertemakan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
“Biasanya akan diadakan perbarisan besar-besaran di Kuala Lumpur di bawah Bukit Aman dan perbarisan di peringkat negeri dan daerah disertai majlis tahlil serta program lawatan ke hospital.
“Hari ini kita hentikan dan batalkan semua acara sambutan dan menggarap tenaga 100 peratus untuk difokuskan kepada wabak Covid-19 untuk dicegah segera.
“Di sini kita dapat jimatkan banyak perbelanjaan juga yang ada hubung rapat dengan perbarisan sambutan dan ia digunakan untuk membiayai aktiviti penguatkuasaan PKP di samping menjalankan tugas lain asasnya mencegah jenayah menjaga sempadan dan kawalan lalu lintas di jalan raya,” katanya ketika ditemubual dalam dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia.
Katanya, setakat semalam seramai 46,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan di sekatan jalan raya seluruh negara termasuk rondaan motosikal dan kereta peronda selain hebahan mengenai Covid-19 dan pemeriksaan di pusat-pusat tumpuan orang ramai.
SEmentara itu, Abdul Hamid berkata, kadar jenayah berkurangan sehingga 70 peratus, kecuali kecurian motosikal dan pecah rumah, sepanjang tempoh PKP. – MalaysiaGazette