PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan empat kematian kes positif Covid-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Kebangsaan (CPRC) hari ini.
Jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 19 kes.
“Kematian ke-16 merupakan kes 1,334 melibatkan lelaki tempatan berumur 75 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.
“Dia dipindahkan dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac sebelum kesihatannya merosot dan diberikan bantuan pernafasan serta disahkan meninggal jam 7.40 malam semalam,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah Noor Hisham lagi, kes ke -1,251 dicatatkan sebagai kes kematian ke-17 melibatkan lelaki berusia 66 tahun dan disyaki mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.
“Mangsa dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor pada 20 Mac dan kesihatannya merosot sebelum disahkan meninggal dunia jam 4.10 pagi ini,” katanya.
Noor Hisham turut berkata kes kematian ke-18 juga mempunyai latar belakang penyakit kronik melibatkan lelaki berusia 56 tahun.
“Pesakit dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor pada 20 Mac dan disahkan meninggal jam 2 pagi tiga hari kemudian,” katanya.
Satu lagi kematian direkodkan melibatkan kes ke- 19 dan merupakan kes 1,246 yang merupakan warga emas wanita berusia 68 tahun.
Kes itu dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Johor pada 19 Mac dan diberikan bantuan pernafasan sebelum meninggalkan dunia jam 12.53 pagi tadi.
Menurutnya, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) mencatat penurunan berbanding semalam.
“Sehingga kini, seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU dan 34 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. -MalaysiaGazette