Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta memperkukuhkan tekad dan iltizam dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyifatkan pengorbanan anggota polis sebagai jihad polis demi agama, bangsa dan negara berkata, ia penting bagi mengelak berlakunya gelombang ketiga yang berupaya membawa implikasi yang lebih serius kepada rakyat.

“Buat pertama kalinya dalam sejarah PDRM, kita tidak dapat menyambut Peringatan Hari Polis sebagaimana yang lazimnya dilakukan setiap tahun, kerana berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19.

“Maka, kesemua program yang direncanakan sebagai pengisian sambutan Hari Polis 2020, tidak dapat dilaksanakan, demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Kerajaan.

“Jika sebelum ini, 25 Mac dilihat sebagai tarikh keramat untuk mengenang jasa dan pengorbanan wira-wira terdahulu yang berjuang demi kedaulatan dan keamanan negara, maka pada tahun ini, kita turut meraikan pengorbanan warga PDRM, yang sanggup mengenepikan keselamatan diri sendiri, demi melindungi masyarakat daripada ancaman wabak maut COVID-19.

“Kesediaan kita meletakkan diri dalam situasi berisiko tinggi, yang boleh mendedahkan kita pada jangkitan wabak tersebut, adalah bukti nyata, tentang sejauh mana kita sanggup berkorban untuk masyarakat dan negara,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Polis Ke-213 hari ini.

Tema ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ dikekalkan untuk sambutan Hari Polis pada tahun ini.

Menurut Abdul Hamid, beliau bangga dengan pengorbanan ikhlas warga PDRM menggalas tanggungjawab yang diamanahkan meskipun terpaksa berhadapan dengan risiko yang boleh mengancam nyawa.

Tambah beliau, polis sanggup melakukan apa sahaja demi kesejahteraan dan kepentingan masyarakat seluruhnya.

Berikutan itu, Abdul Hamid meminta orang ramai membantu polis dengan memberi kerjasama dan berdoa agar dugaan yang dihadapi berakhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast