SYDNEY – Seorang lelaki Australia didakwa mempersendakan anggota keselamatan selepas terbatuk di hadapan seorang polis sambil memaklumkan dia dijangkiti dengan koronavirus baru.
Tindakan dia mempersendakan polis berkenaan telah dirakamkan oleh rakannya.
Lelaki itu berusia 21 tahun.
Pihak berkuasa berkata, suspek telah datang ke balai polis di Coffs Harbour yang terletak kira-kira 525 km di utara Sydney lalu bertemu dengan seorang pegawai polis wanita berusia 71 tahun.
”(Dia) dengan sengaja batuk di hadapan wanita itu sambil mendakwa dijangkiti Covid-19. Rakannya merakamkan perbuatan itu,” kata polis.
Ekoran insiden itu, balai polis ditutup dan protokol pengasingan dilaksanakan, pada masa sama pihak berkuasa turut memeriksa status kesihatannya.
Ternyata remaja tersebut tidak mempunyai virus yang telah menjangkiti lebih daripada 2,000 orang Australia.
Lelaki itu didakwa kerana cuba menakutkan dengan niat untuk menyebabkan ketakutan terhadap bahaya fizikal dan menentang atau menghalang pegawai polis dalam melaksanakan tugas.
Dia telah dijamin untuk hadir di mahkamah pada 6 Mei ini. – MalaysiaGazette