SOALAN LAZIM MENGENAI PENANGGUHAN BAYARAN BALIK PINJAMAN PTPTN AKIBAT PENULARAN COVID-19 (FAQs)
(Penangguhan bayaran balik COVID-19)
1. Apakah yang dimaksudkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat penularan COVID-19?
Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat penularan COVID-19 bermaksud penangguhan untuk membayar balik pinjaman PTPTN dalam tempoh yang dinyatakan.
2. Siapakah yang akan diberikan penangguhan bayaran balik COVID-19 ini?
Semua peminjam akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman.
3. Bagaimanakah untuk memohon penangguhan bayaran balik COVID-19?
Peminjam tidak perlu membuat permohonan. Penangguhan diberikan secara automatik.
4. Bilakah penangguhan bayaran balik COVID-19 berkuat kuasa?
Penangguhan bayaran balik akan berkuat kuasa serta merta mulai 19 Mac hingga 30 September 2020.
5. Apakah manfaat yang diperoleh oleh peminjam?
Peminjam diberikan penangguhan untuk membayar balik pinjaman dan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik COVID-19 berkuat kuasa.
6. Adakah saya perlu membuat pembatalan potongan gaji/ direct debit sedia ada?
Tidak perlu. Potongan gaji/ direct debit sedia ada juga ditangguhkan selaras dengan penangguhan bayaran balik yang diberikan kepada semua peminjam. Walau bagaimanapun, bagi peminjam yang ingin meneruskan potongan gaji/ direct debit, permohonan hendaklah dibuat melalui Portal Rasmi PTPTN (www.ptptn.gov.my/covid-19) mulai 23 Mac hingga 15 Ogos 2020.
7. Bilakah penangguhan potongan gaji/ direct debit akan dilaksanakan? Adakah bermula Mac 2020 atau April 2020?
Penangguhan potongan gaji/ direct debit juga berkuat kuasa mulai tarikh yang sama. Walau bagaimana pun, akan ada peminjam yang telah dibuat potongan gaji bagi bulan Mac 2020 memandangkan aktiviti prosesan data potongan telah dibuat lebih awal sebelum pengumuman penangguhan bayaran balik melibatkan semua Penjawat Awam (Kerajaan Persekutuan/ Kerajaan Negeri/ Badan Berkanun) dan sebahagian kakitangan agensi Swasta. Peminjam perlu menyemak penyata pinjaman masing-masing untuk pengesahan bayaran berhubung perkara ini (https://www.ptptn.gov.my/semakanpinjaman/). Tiada pemulangan (refund) akan dibuat ke atas bayaran balik yang telah diterima.
Potongan gaji/ direct debit akan dihentikan sepenuhnya pada bulan April hingga September 2020 kecuali bagi peminjam yang bersetuju meneruskan potongan dengan membuat permohonan di www.ptptn.gov.my/covid-19 selewat-lewatnya pada 15 Ogos 2020.
8. Adakah majikan perlu memulangkan wang kepada pekerja (peminjam) sekiranya majikan telah memproses potongan gaji bagi bulan Mac tetapi belum mengkreditkan bayaran kepada PTPTN?
Tidak perlu. Majikan hendaklah mengkreditkan terus amaun potongan kepada PTPTN. Peminjam perlu sentiasa menyemak penyata pinjaman masing-masing untuk pengesahan bayaran berhubung perkara ini (https://www.ptptn.gov.my/semakanpinjaman/). Tiada pemulangan (refund) yang akan dibuat ke atas bayaran balik yang diterima.
9. Adakah peminjam perlu membuat permohonan baharu potongan gaji/ direct debit selepas tamat tempoh penangguhan?
Tidak perlu. Semua potongan gaji dan direct debit akan diteruskan sepertimana sebelum penangguhan bayaran balik COVID-19.
10. Adakah penangguhan bayaran balik turut diberikan kepada peminjam yang membayar melalui AKPK?
Peminjam dikehendaki berunding dengan AKPK berhubung perkara ini.
11. Adakah penangguhan bayaran balik ini akan diteruskan selepas 30 September 2020 sekiranya wabak COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya?
Sebarang keputusan berhubung inisiatif penangguhan bayaran balik akan diteliti dari semasa ke semasa.
12. Adakah tempoh bayaran balik pinjaman saya akan dilanjutkan kesan dari penangguhan ini?
Ya. Tempoh bayaran balik akan dilanjutkan melalui penstrukturan semula pinjaman yang dibuat secara automatik kepada semua peminjam yang tidak mempunyai tunggakan sebelum penangguhan bayaran balik COVID-19 diberikan.
13. Bagaimanakah pula penstrukturan semula pinjaman ke atas peminjam yang telah mempunyai tunggakan sebelum penangguhan bayaran balik COVID-19?
Peminjam yang telah mempunyai tunggakan sebelum penangguhan ini dikehendaki berunding dengan PTPTN untuk penstrukturan semula pinjaman.
14. Bagaimanakah penstrukturan semula pinjaman dilaksanakan bagi peminjam Konvensional?
Bagi peminjam Konvensional, penstrukturan semula pinjaman akan dilaksanakan melalui pertukaran Ujrah.
15. Adakah permohonan pertukaran Ujrah/ penstrukturan semula/ penjadualan semula/ penggabungan boleh dilakukan dalam tempoh penangguhan ini?
Tidak boleh. Semua permohonan tersebut ditangguhkan sehingga 30 September 2020.
16. Bagaimanakah rekod CCRIS peminjam sepanjang penangguhan bayaran balik COVID-19?
Rekod CCRIS peminjam adalah sama seperti sebelum penangguhan dilaksanakan kerana tempoh penangguhan dianggap tempoh moratorium. Walau bagaimanapun, sekiranya peminjam masih meneruskan pembayaran balik, rekod akan dikemas kini berdasarkan bayaran yang dibuat.
17. Adakah penstrukturan semula pinjaman yang dilakukan selepas penangguhan bayaran balik COVID-19 akan memberi kesan kepada rekod peminjam di CCRIS?
Penstrukturan semula pinjaman tidak akan memberi kesan kepada rekod peminjam di CCRIS selagi mana peminjam tidak mempunyai tunggakan terdahulu.
18. Adakah peminjam akan menerima perjanjian yang baharu memandangkan tempoh bayaran balik akan berubah melalui kaedah penstrukturan semula pinjaman?
Tidak. Peminjam hanya akan menerima notis makluman melalui emel yang didaftarkan dengan PTPTN. Peminjam yang ingin mengemaskini alamat emel, boleh berbuat demikian di https://www.ptptn.gov.my/mail/Utama.
19. Adakah kos pentadbiran/ ujrah dikenakan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik tersebut?
Ya. Kos pentadbiran/ ujrah dikenakan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik sepertimana penangguhan sedia ada.
20. Adakah peminjam boleh membuat bayaran balik sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik tersebut?
Boleh. Peminjam boleh membuat bayaran balik melalui saluran perbankan internet yang disediakan.
21. Adakah PTPTN beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?
Sepanjang tempoh PKP, PTPTN akan beroperasi pada kapasiti yang terhad. Ibu pejabat dan semua cawangan PTPTN ditutup kepada urusan dengan orang ramai. Pusat Panggilan (Careline) di talian 03 2193 3000 juga ditutup mulai 26 Mac 2020.
22. Bagaimanakah pelanggan boleh berkomunikasi dengan PTPTN dalam tempoh PKP?
Pelanggan boleh berkomunikasi dengan PTPTN dalam tempoh PKP melalui kaedah berikut:-
i. Menghubungi pegawai seperti yang dipaparkan di pautan https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn; atau
ii. Mengemukakan pertanyaan di pautan https://bit.ly/eAduanPTPTN. Pegawai kami akan memberi maklum balas dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja.
PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL
25 MAC 2020