Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Saravanan berucap pada Sesi Town Hall Politik Malaysia Baharu di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Bantuan sebanyak RM600 akan diberi menerusi majikan kepada pekerja-pekerja swasta yang berpendapatan RM4000 ke bawah dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak Januari 2020.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihak majikan perlulah membuat tuntutan bagi pihak pekerja mereka menerusi Program Subsidi Upah yang akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Program tersebut diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) semalam.

“Pihak majikan yang menuntut tidak dibenarkan membuang pekerja, memotong gaji mahupun mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh 3 bulan selepas program ini dilaksanakan.

“Inisiatif Program Subsidi Upah akan berkuatkuasa mulai 1 April 2020,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Saravanan, untuk pelaksanaan program itu, sebanyak RM5.9 billion telah diperuntukkan kepada Kementerian Sumber Manusia melalui Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso yang akan memberi manfaat kepada 3.3 juta pekerja swasta di negara ini.

“Sukacita saya ingin menjelaskan di sini dan bagi mengelakkan kekeliruan, Program Subsidi Upah ini juga adalah penambahbaikan dan perluasan kepada Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Program- ERP ) yang telah diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi pada 16 Mac lalu.

“Sebarang pertanyaan boleh dihantar kepada [email protected] atau ajukan
sebarang aduan dan pertanyaan melalui facebook.com/perkeso.official,” tegas beliau lagi.-MalaysiaGazette