KUALA LUMPUR, 29 Mac – Pertumbuhan penggunaan dan inflasi akan mencatat peningkatan ‘one-off’ atau sekali berikutan kesan asas rendah akibat penyusutan penggunaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS ).
Menurut Pengurus Penyelidikannya, Lau Zheng Zhou, peningkatan semula itu bagaimana pun bergantung kepada secepat mana PKP itu dapat ditarik balik.
“Pertumbuhan penggunaan swasta dijangka berkurangan dan seiring impak PKP ke atas perniagaan, akan wujud tekanan deflasi,” katanya kepada Bernama.
Mengulas sama ada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas mampu memulihkan keadaan ekonomi negara, Lau berkata ini akan bergantung situasi Covid-19.
Ini kerana, penularan virus itu akan menentukan secepat mana perniagaan dan ekonomi mampu bangkit dan kembali seperti biasa kerana dilakukan secara berperingkat.
Beliau berkata, impak jangka terdekat sehingga jangka sederhana PKP itu adalah dari segi mudah tunai berikutan perniagaan terbabit terpaksa menyerap kerugian bagi inventori yang tidak terjual walaupun perlu membayar gaji pekerja serta kredit kepada pembekal.
Menurutnya, ini boleh membawa kepada kemungkinan perniagaan ditutup dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan lebih banyak terjejas berbanding syarikat besar kerana tidak mempunyai banyak simpanan tunai.
“Selain itu, tindakan mengasingkan (kategori) barangan dan perkhidmatan utama dan bukan utama itu akan banyak menjejaskan rantaian bekalan seperti mesin, komponen, bahan mentah dan perkhidmatan perantara lainnya yang dilihat penting bagi menghasilkan produk utama,” katanya.
Lau berkata, tindakan melanjutkan PKP juga bermakna pengeluaran barangan utama seperti makanan, kini sukar dijamin.
Impak jangka sederhana sehingga jangka panjang pula dalam lingkungan setahun, kata IDEAS yang turut menjangkakan keadaan itu boleh mencetuskan kemelesetan.
“Jika Malaysia pulih daripada kemuncak Covid-19 sekali pun, kita tidak akan terkecuali daripada penyusutan permintaan perdagangan dan pelaburan global. Adalah dijangkakan kemelesetan itu memaparkan peningkatan lengkuk V (turun dan naik secara ketara) pada 2021.
“Oleh itu, Malaysia dijangka memanfaatkan gangguan rantaian bekalan kerana banyak syarikat-syarikat multinasional telah mengalihkan pengeluaran masing-masing dari China berikutan perang dagangan Amerika Syaikat-China sebelum ini dan seterusnya Covid-19,” katanya.
Menurut Lau, kerajaan juga dijangka memperkenalkan lebih banyak langkah sekiranya PKP itu terpaksa dilanjutkan lagi.
“Kerajaan melakukan usaha itu secara berperingkat. Daripada usaha memacu penggunaan dan perlindungan sosial, kerajaan juga akan menangani impaknya terhadap PKS, rantaian bekalan dan seterusnya perdagangan kerana kapasiti pengeluaran akan terjejas jika PKP diteruskan untuk tempoh yang terlalu lama.
Ditanya mengenai langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan moratorium selama enam bulan membabitkan bayaran balik pinjaman dan pembiayaan mulai 1 April, beliau berkata penangguhan segera sedemikian adalah penting.
“Ini bagi memastikan kewujudan mudah tunai dan mengelak masalah ketidakmampuan bayar dalam skala besar yang boleh mencetuskan krisis.
“Jika perniagaan gagal secara berleluasa, bank akan dibebani masalah pinjaman tak berbayar dan sekali gus mewujudkan masalah lebih besar. Industri perbankan juga mengalami impaknya sepertimana industri-industri lain.
“Mungkin ini dapat mempercepatkan lagi strategi penjimatan kos untuk bank-bank dan menyaksikan lebih banyak pendekatan bagi menambah kecekapan menerusi pendigitalan atau mempelbagaikan produk. Apa pun, pasti ada peluang di sebalik krisis yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette