KUALA LUMPUR – Gambar pemain pertahanan skuad Lang Merah, Azmeer Yusoff yang terlantar di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan tular di media sosial mencetus kebimbangan dalam kalangan penyokong Kedah.
Apatah lagi dengan peningkatan kes wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini, para penyokong pasti tertanya-tanya kenapa pemain berusia 30 tahun itu dimasukkan ke hospital.
Namun difahamkan, Azmeer telah mengalami demam panas dan terpaksa ditahan di hospital dan tidak ada kena mengena dengan wabak pandemik itu.
Perkembangan itu disahkan sendiri olah Presiden Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim.
“Kami dimaklumkan dia kini mengalami demam panas dan sedang menjalani rawatan yang diperlukan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur sejak dua hari lalu.
“Memang ramai yang bertanya apabila melihat status gambar Azmeer yang dimuat naik dengan begitu cepat oleh netizen sejak semalam, namun dengan penjelasan tahap kesihatan sebenar daripada keluarganya, kami berasa sedikit lega.
“Dalam masa yang sama, kami sentiasa menunggu perkembangan tahap kesihatanya dari masa ke semasa dan apa yang kami harapkan adalah mendoakan kesihatannya segera pulih secepat mungkin.” katanya kepada Arena Metro.
Azmeer yang menyertai Kedah sejak musim 2019 pernah membantu Lang Merah menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2016 dan Piala FA pada tahun 2019.
Sebelum kembali ke Kedah, dia sempat membantu Kuala Lumpur menjuarai Liga Premier pada tahun 2017. – MalaysiaGazette