KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan harga siling terbaharu penutup hidung dan mulut adalah RM1.50 sekeping, 50 sen lebih murah berbanding harga yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakop, penutup hidung dan mulut tidak banyak dikeluarkan di dalam negara dan perlu diimport.
Ini kerajaan terpaksa mengikut harga pasaran global, ujarnya.
“Walau bagaimanapun, kita akan terus mengkaji harga tersebut, sekiranya harga terus menurun, kita akan semak semula,” katanya semasa sidang media hari ini.
Pada 20 Mac lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi mengumumkan harga siling penutup muka dan hidung dinaikkan kepada RM2 sekeping berbanding 80 sen sekeping sebelum ini.
Harga siling baharu itu telah mula berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu, katanya.
Menurut beliau, tindakan tersebut adalah bagi menggalakkan lebih ramai peniaga mengimport penutup hidung dan mulut bagi mengatasi kekurangan bekalan di pasaran tempatan.
Bagaimanapun, harga siling terbaharu itu tidak dipersetujui oleh banyak pihak termasuk Perdana Menteri sendiri kerana dirasakan terlalu mahal. – MalaysiaGazette