KUALA LUMPUR – Pandangan beberapa pemimpin pembangkang yang mahu agar Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dibahas di Dewan Rakyat pada waktu krisis merupakan satu langkah tidak masuk akal.
Ini kerana, negara kini berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengelakkan penularan COVID-19 dan langkah yang dimahukan pembangkang itu adalah tidak wajar, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
Menurut beliau, dari sudut Perlembagaan, bajet tambahan itu sebenarnya boleh dibentang dan diluluskan sebelum atau selepas perbelanjaan tambahan dibuat.
“Jika faktor ketirisan adalah kegusaran utama mereka, maka mereka perlu yakin kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan amanah dan tugas mereka.
“Sebelum ini, mereka (pembangkang) yakin dengan dengan SPRM, mengapa tidak sekarang?” tegas beliau menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, dalam keadaan getir seperti sekarang bajet tambahan diperlukan di saat krisis.
Secara umumnya kata beliau, bajet tambahan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi itu adalah untuk rakyat dan negara serta ia bukanlah bajet kepentingan peribadi seseorang atau sekelompok golongan sahaja.
Ujarnya, Kementerian Kewangan telah menjelaskan bahawa pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang telah diperuntukkan sebanyak RM10 bilion bagi golongan rakyat yang layak akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada akhir bulan April dan Mei 2020.
Tambah beliau, DPIM menyeru agar kerajaan mempercepat pemberian bantuan tersebut untuk dilaksanakan seawal April ini.
Ini kerana jelasnya, ramai dalam kalangan rakyat yang telah terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan sejak dikuatkuasakan 18 Mac dan tidak kurang juga mereka yang hilang punca pendapatan harian.
“Kerajaan sudah tentu memiliki data komprehensif tentang rakyat B40 sejak BR1M dan BSH dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan Kerajaan Pakatan Harapan. Gunakanlah data yang sudah ada untuk salurkan bantuan.
“DPIM berharap pemimpin Pakatan Harapan tidak mempolitikkan isu di saat krisis.” ujarnya.
Dalam pada itu Shahir berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya bantuan juga diberikan pada akhir April agar golongan B40 tidak terputus bekalan makanan.
Jelasnya, penyaluran bantuan pada awal April adalah untuk meringankan beban mereka yang hilang punca pendapatan sejak 18 Mac, manakala penyaluran pada akhir bulan April sebagai bantuan memulakan kembali kehidupan seperti biasa selepas PKP. – MalaysiaGazette