Pengarah Tenaga Kerja KL, Rahmat Ismail bercakap semasa serbuan sebuah premis pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – “Tangguhlah dahulu hasrat hendak beli peti sejuk dan televisyen sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Masih ramai lagi yang bukan dalam kalangan ketua keluarga datang membeli barang sebaliknya ada juga bawa bayi dan kanak-kanak ke pasar raya. Marilah kita beramai-ramai patuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan supaya kita boleh rasai Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di rumah seperti biasa.

“Jika tidak sehingga Krismas sekalipun kita masih bawah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).,” nasihat Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur, Rahmat Ismail.

Pengarah Tenaga Kerja Kuala Lumpur, Rahmat Ismail bercakap semasa serbuan sebuah premis pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020.

Itulah luahan hatinya berhubung sikap sesetengah warga kota yang masih degil dan ingkar dengan arahan PKP bagi memerangi wabak Covid-19 dan sikap itu masih dapat dilihat melalui beberapa siri operasi yang diadakan pihaknya sejak kebelakangan ini.

JTK yang merupakan jabatan di Kementerian Sumber Manusia juga turut terlibat secara langsung dalam memantau majikan serta pekerja dengan memberi kesedaran sivik kepada orang ramai mengenai PKP.

Jabatan itu juga telah diberikan kuasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Seksyen 3 dan 18 (1) (F) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurut Rahmat yang turut mengetuai ‘Ops Cegah Covid-19’ bersama-sama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hari ini berkata, pihaknya sudah memulakan operasi pantauan serta tinjaun juga memberikan nasihat kepada golongan majikan dan pekerja sejak hari pertama bermulanya PKP lagi.

Anggota Jabatan Tenaga Kerja Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menampal notis penutupan semasa serbuan sebuah premis pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020

“Sehingga kini, sudah berpuluh tempat kami lakukan pemeriksaan, siang malam. Kami tidak berhenti bekerja kerana hendak memastikan para majikan dan juga pekerja mematuhi peraturan serta garis panduan yang diberikan sepanjang PKP ini.

“Tetapi, seperti hari ini, seramai 51 majikan telah diperiksa sejak 10 pagi tadi di pusat beli belah Mid Valley kemudian di MyTown, Cheras. Daripada jumlah itu, sebanyak 32 notis makluman kita keluarkan bagi kesalahan-kesalahan kecil serta beri peringatan.

“Manakala kita telah mengeluarkan 10 notis penutupan operasi bagi premis-premis yang kita rasakan sebenarnya tidak perlu mengikut lunas undang-undang. Daripada 10 penutupan ini, ada juga hanya sebahagian kita tutup, contohnya seperti farmasi.

“Farmasi yang menjual barangan kesihatan juga dilihat menjual barangan-barangan bukan essential seperti kosmetik. Bahagian itu kita arahkan tutup.

“Hari ini adalah hari ke-13 PKP tetapi kita masih berterusan menghadapi situasi yang mana rata-rata masih gagal mematuhi segala garis panduan serta perintah di tetapkan kerajaan demi memutuskan rantaian Covid-19.

“Masing-masing masih belum boleh memahami situasi bahaya yang kita sedang hadapi pada masa ini,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam temuramah eksklusif hari ini.

Kelihatan pekerja membuat halangan di kawasan produk yang tidak dibenarkan jual semasa serbuan sebuah premis pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020

Rahmat sendiri hairan dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir rakyat di negara ini terutamanya ketika wabak dianggap pandemik itu telah meragut nyawa puluhan ribu seluruh dunia dan semakin meningkat hari demi hari.

“Saya memang pelik, macam-macam ragam jugalah. Kita akan dapat aduan rata-rata dari pekerja atau orang awam sendiri. Kita juga lakukan recce serta tinjauan sendiri sebelum satu-satu operasi.

“Dalam 13 hari ini, kita telah periksa dan lakukan serbuan bermacam tempat yang tidak sepatutnya beroperasi. Saya beri contoh, klinik kecantikan seperti buat botox. Ramai pelanggan dan apabila kita serbu, mereka marah. Ini bukan satu keperluan.

“Ada juga bank-bank beroperasi seperti biasa tetapi bukanlah seperti yang kita sangka, mereka jual kad kredit pula. Ada juga kedai yang nama-nama besar juga beroperasi seperti biasa jual gajet dan barangan lain.

Seorang anggota Jabatan Tenaga Kerja Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memberi penerangan kepada pekerja-pekerja semasa serbuan sebuah premis yang tidak mematuhi arahan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020

“Mereka tutup pintu depan dan buka pintu belakang, bila kita serbu ada ramai sahaja pelanggan. Mengapa buat begini? Bukan soal langgar perintah atau undang-undang tapi kita sedang hadapi krisis sangat merbahaya. Anda bahayakan diri dan orang lain.

“Hari ini sahaja kita tengok begitu banyak kereta di jalan raya sepanjang kita datang ke sini, mengapa banyak sangat kereta? Saya memang tidak faham langsung.

“Ini semua kesedaran sivik dalam diri kita, ramai antara rakyat kita tidak begitu faham betapa seriusnya wabak ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Rahmat merayu supaya majikan serta pekerja mematuhi undang-undang serta garis panduan sehingga rantaian Covid-19.

“Majikan perlu jalankan penilaian risiko dan tambah baik prosedur kerja bagi pastikan risiko wabak ini dapat dikurangkan. Sediakan kit keselamatan seperti topeng muka, sanitizer. Kita nampak ada juga yang tidak pakai.

“Perlu amalkan kebersihan diri, cuci tangan dengan air, sabun serta sanitizer. Semua ini perlu, majikan perlu pastikan semua ini juga. Kita ada juga bagi notis kepada segelintir pekerja kerana amalkan tahap kebersihan betul ketika hadapi Covid-19.

“Jaga jarak, pastikan pelanggan khasnya di kedai makan untuk jaga jarak dan tidak berpusu-pusu. Pagi tadi kita nampak bagaimana di satu premis makanan segera begitu ramai orang, sepatutnya semua ini pemilik serta pekerja perlu tahu dan memberitahu pelanggan,” ujarnya.

Sebahagian pengunjung masih tidak patuhi jarak sosial semasa serbuan sebuah premis pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020

Berdasarkan Seskyen 15 (1) AKKP 1994, menjadi kewajipan setiap majikan untuk pastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa berkerja oleh semua pekerjanya.

Seandainya gagal, boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tempoh tidak lebih dua tahun ataupun kedua-duanya sekali.

Jadi lebih baik patuh sahaja kepada arahan serta undang-undang untuk memastikan risiko penularan wabak di tempat kerja dapat di cegah demi keselamatan semua. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ramainya masih ‘melepak’ di pusat beli belah